Hanya beberapa jam dari sekarang, bekas penjaga gol terbaik dunia bakal secara rasmi menjadi milik juara Piala FA, Arsenal.

Media melaporkan pengurusan kelab Arsenal sudah bersedia mengesahkan perpindahan Petr Cech ke Emirates dari Stamford Bridge.

Akhbar The Telegraph melaporkan, Cech, 33, bakal menamatkan kerjayanya di Chelsea sejak 11 tahun lalu dan menyertai Arsenal dengan yuran perpindahan £11 juta (RM65.4 juta) bagi memperkukuhkan pertahanan The Gunners.

Cech pula mahu meninggalkan Stamford Bridge bagi membuka ruang kepadanya turun sebagai kesebelasan utama selepas tempatnya di Chelsea diisi penjaga gol skuad kebangsaan Belgium, Thibaut Courtois.

Pada masa sama penjaga gol kebangsaan Republik Czech itu mahu terus bermastautin di London kerana keluarganya juga sudah berada di situ.

Satu lagi kelab London, Tottenham Hotspur sudah memiliki penjaga gol kebangsaan Perancis, Hugo Lloris.