EPL: Cech sah milik Arsenal
Pemenang anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Republik Czech sebanyak tujuh kali, Petr Cech kini rasmi menjadi milik juara Piala FA, Arsenal selepas perpindahannya disempurnakan kira-kira jam 10 malam tadi (waktu Malaysia).
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dilaporkan berkata, beliau memang mengagumi Cech sejak sekian lama dan begitu teruja dengan kesediaan penjaga gol itu menyertai The Gunners.
"Dia sudah membuktikan selama beberapa musim bahawa dia adalah salah seorang penjaga gol terbaik dan akan mengukuhkan lagi kekuatan Arsenal," katanya dipetik laman web www.arsenal.com hari ini.
Very happy to announce that I have signed with
@Arsenal
pic.twitter.com/msvjEpyO36
— Petr Cech (@PetrCech)
June 29, 2015
Cech pula berkata, dia teruja dan tidak sabar-sabar menyertai pemain lain dalam kemunculan pramusim tidak lama lagi.
"Saya masih mempunyai keazaman, motivasi dan keghairahan sama seperti permulaan kerjaya saya dan cabaran dibawa pemain berkualiti tinggi dalam Liga Perdana memang dinanti-nantikan," katanya.
Walaupun laman web rasmi Arsenal tidak mendedahkan jumlah bayaran yang terlibat dalam perpindahan itu, difahamkan ia membabitkan nilai £10 juta (RM59.5 juta).
Penjaga gol berusia 33 tahun itu diturunkan lebih 400 kali bersama skuad terdahulu, Chelsea sepanjang tempoh kontraknya selama 11 tahun.
Cech juga memenangi anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana sebanyak tiga kali.
Dia membuat kemunculan antarabangsa pertama pada 2002 dan setakat ini mewakili negaranya sebanyak 114 kali.

