Cech diugut bunuh, kena maki
Ternyata tidak semua pihak gembira atau dapat menerima hakikat perpindahan Petr Cech dari Stamford Bridge ke Emirates.
Semalam penjaga gol kebangsaan Republik Czech itu menerima ugutan bunuh daripada beberapa individu yang mendakwa peminat Chelsea.
Mereka menyampaikan ugutan bunuh itu pula bukan secara sembunyi, malah melakukannya dengan terbuka melalui Twitter.
Seorang daripada mereka menulis: "Ucapkan selamat tinggal kepada anda untuk kali terakhir sebelum mereka memejamkan mata. Kau tidak akan dapat melihat mereka esok."
Sejurus selepas itu akaun berkenaan dinyahaktifkan.
Disebabkan perpindahan itu juga Cech dilabel dengan pelbagai gelaran termasuk "pengkhianat" dan "pembelit".
Walaupun tidak dinyatakan nilai perpindahan dari Chelsea, The Gunners dilaporkan membayar antara £10 juta (RM59.5 juta) hingga £11 (RM65.4 juta)
Semoga kena kanser
Penjaga gol berusia 33 tahun itu melengkapkan penghijrahannya ke Emirates selepas menjalani pemeriksaan kesihatan baru-baru ini.
Cech mengikat kontra bersama Arsenal selama empat tahun.
Cuma tidak seperti pemilik Chelsea, Roman Abramovich yang merelakan perpindahan itu, ada antara peminat kelab berkenaan tidak mahu menerima hakikat.
Antara sebabnya, mereka berang kerana Cech memilih kelab yang menjadi pencabar terkuat Chelsea di Liga Perdana Inggeris.
Seorang peminat malah menyumpah-nyumpah Cech dan keluarganya dengan pelbagai kata-kata lucah.
"Mudah-mudahan anak kau terkena kanser," katanya.
Peminat lain pula menulis di Twitter: "Aku akan membawa raifal SR-25 ke Stamford Bridge setiap kali Arsenal datang. Tentu seronok melihat Cech berlumuran darah di atas padang."

