China membuktikan ia masih sebagai kuasa besar dunia dalam sukan badminton apabila dengan mudah menjinakkan Malaysia 3-0 untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Remaja Asia 2015 di Bangkok.

Pada saingan suku akhir hari ini, beregu campuran, Zheng Siwei/Chen Qingchen mengutip mata pertama China apabila menewaskan gandingan negara Tan Jinn Hwa/Goh Jin Wei 21-8 dan 21-8.

China mengukuhkan kedudukan apabila Lin Guipu menundukkan Cheam June Wei 21-5, 21-17 dalam acara perseorangan lelaki sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir menerusi beregu lelaki Zheng Siwei/He Jiting.

Beregu China itu bagaimanapun menerima tentangan sengit daripada beregu negara Aaron Chia Teng Fong/Goh Sze Fei sebelum menang 21-17, 18-21 dan 21-12.

Pada saingan separuh akhir, China akan berdepan dengan Jepun sementara Indonesia akan menentang Korea Selatan.

Dalam perlawanan suku akhir lain, Jepun mengalahkan India 3-1 manakala Indonesia menewaskan Thailand 3-2 dan Korea Selatan mengalahkan Hong Kong 3-1.

- Bernama