Suka atau tidak de Gea tetap nak ke Santiago Bernabeu
Manchester United dilaporkan bersedia melepaskan penjaga gol utama mereka David de Gea dan mengalah untuk memujuknya kekal di Old Trafford.
Sumber memberitahu goal.com , pengurusan kelab itu terpaksa menerima hakikat hati de Gea memang sudah ternanam di Santiago Bernabeu dan mengidamkan menyarung jersi Real Madrid.
Kata sumber, MU kini mencari persetujuan terbaik bagi perpindahan penjaga gol berasal dari Sepanyol itu.
Awal Jun lalu de Gea memberitahu kelabnya, dia tidak berminat menandatangani kontrak dengan MU yang menawarkan gaji RM1.2 juta seminggu, sebaliknya mahu bermain untuk Real Madrid.
Menyedari situasi itu MU menuntut lebih RM166.8 juta walaupun kontraknya di Old Trafford cuba berbaki setahu saja lagi.
Sumber dalaman memberitahu pemergian de Gea ke Santiago Bernabeu sudah hampir pasti walaupun rundingan mengenainya berlanjutan sehingga penghujung tempoh yang dibenarkan pihak berkuasa bola sepak England.
De Gea dilihat mahu proses pemindahannya dilakukan segera selepas diingatkan, Real Madrid mungkin mengalih perhatian kepada penjaga gol lain jika penghijrahan itu tidak berlaku pada musim panas ini.
Di mata pengurusan Real Madrid, de Gea adalah penjaga gol terbaik untuk jangka masa panjang menggantikan Iker Casillas.

