Dekat tapi jauh.

Impian skuad Malaysia untuk beraksi di Sukan Olimpik Brazil 2016 melalui Liga Hoki Dunia tidak kesampaian selepas tumpas 3-2 kepada India pada perlawanan peringkat suku akhir, awal pagi tadi.

Badi untuk beraksi di temasya sukan dunia selepas tahun 2000 itu terus menghantui skuad negara yang kini dibimbing Tai Beng Hai walaupun memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

Pada aksi suku akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium pagi tadi, India menguasai perlawanan dan mendahului seawal minit ketiga hasil jaringan Satbir Singh.

Pada minit keenam, pasukan negara beroleh peluang untuk menghasilkan gol melalui pukulan sudut penalti, namun gagal disudahi dengan sempurna.

Hanya pada minit terakhir suku masa pertama, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan melalui kapten pasukan Muhammad Razie Abd Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Aksi suku masa kedua meletakkan pasukan negara di depan dan menguasai perlawanan apabila pukulan sudut penalti berjaya dijaringkan oleh Shahril Saabah.

Selepas bertahan dengan kedudukan itu, gawang Malaysia akhirnya dibolosi gol penyamaan India melalui Jasjit Singh pada minit Ke-48.

Empat minit sebelum masa permainan tamat, Jasjit Singh meranapkan impian Malaysia dengan gol kemenangan hasil pukulan sudut penalti selepas pemain The Speedy Tigers melalukan kesilapan.

Walaupun sudah menempah tiket ke Olimpik selepas muncul juara Asia, India ternyata tetap mempertahankan maruah dan tidak memberi laluan kepada pasukan negara.‎