Mendapat kesakitan dan lebam-lebam kerana bermain bola sepak adalah biasa, tetapi bagi Ashley Cole, dia memperoleh semua itu bukan daripada pemain lawan, sebaliknya seorang model majalah lucah Playboy.

Dalam kejadian semalam, bekas pemain Arsenal yang kini menyertai AS Roma itu ditumbuk di mukanya oleh Carla Howe yang didakwa pernah ditiduri Cole, 34, sejurus selepas dia berpisah dengan Cheryl Fernandez-Versini.

Kejadian itu turut diceritakan oleh Carla melalui Twitter.

Berdasarkan kenyataan Carla, serangan iu berlaku di luar sebuah kelab malam di London pada awal pagi semalam.

Kepada Daily Star, Carla dilaporkan berkata: "Dia cuba menghalang saya dan saya tak tahu apa yang berlaku. Saya takut, justeru saya tumbuk dia."

Kata Carla, secara kebetulan dia memakai cincin dan tumbukannya itu - sebanyak tiga kali - terkena rahang Cole.

"Selepas itu dia menjerit mendakwa saya mencederakan bibirnya," kata Carla.

Dalam Twitter, Carla juga menulis: "Seronok saya baru dapat melepaskan tumbukan yang disimpan untuk @TheRealAC3."

Bersama catatan itu Carla juga meletakkan emoji ketawa.

Bagaimanapun tweet itu dipadamkan tidak lama kemudian.

Beberapa jam kemudian Carla mengulang tweet dihantar seorang peminat Arsenal yang menyatakan: "Rasanya @carlahowe sudah menjadi model baru peminat Arsenal."

Ia juga menjadi bahan jenaka untuk peminat Arsenal seperti banyak ditulis dalam Twitter.