Kekal teratas untuk tahun kesembilan - itu pencapaian yang bukan sembarangan untuk Datuk Nicol David.

Selepas berada di persada ranking pemain skuasy terbaik dunia pada 2006, atlet kelahiran Pulau Pinang itu mendominasi sukan berkenaan dan memenangi lapan Kejohanan Dunia.

Mengulas kejayaannya itu, Nicol, 31, berkata dia sangat gembira dengan pencapaian berkenaan.

"Saya masih tidak percaya," katanya.

Kata Nicol, kejayaan yang dirasa setiap kali memenangi sesuatu pertandingan adalah perasaan yang tidak boleh ditukar ganti.

"Ia memberi dorongan dan matlamat saya kini adalah kekal terbaik dalam setiap pertandingan serta menikmati setiap detik yang berlalu," katanya.

Namun di sebalik kejayaan itu pencabar terdekat Nicol, Raneem El Welily semakin merapatkan jurang kedudukan pada ranking berkenaan.

Kejayaan Raneem, 26, dari Mesir itu banyak disumbangkan hasil kemenangannya di kejohanan Terbuka Antarabangsa Iskandariah Jun lalu.

Kedudukan ketiga pula diisi atlet Perancis, Camille Serme, 26.

Seorang lagi atlet Malaysia, Low Wee Wern berada di tempat kesembilan - kurang bernasib baik kerana jatuh satu tahap berbanding sebelum ini.

Berikut adalah senarai 10 atlet skuasy wanita terbaik dunia:

1. Nicol David (Malaysia)

2. Raneem El Welily (Mesir)

3. Camille Serme (Perancis)

4. Laura Massaro (England)

5. Nour El Tayeb (Mesir)

6. Alison Waters (England)

7. Omneya Abdel Kawy (Mesir)

8. Nour El Sherbini (Mesir)

9. Low Wee Wern (Malaysia)

10. Amanda Sobhy (AS)

Sementara itu seorang lagi atlet dari Pulau Pinang yang cemerlang dalam skuasy, Ong Beng Hee, mengumumkan perasaraannya hari ini.

Pernah memenangi 15 kejuaraan Persatuan Skuasy Profesional (PSA), dia mencatat kedudukan terbaik dunia pada ranking ketujuh suatu ketika dulu.

Beng Hee, 35, menjadi pemain skuasy profesional sejak 1996 dan menyertai 202 pertandingan sepanjang kerjayanya.

Dia juga berjaya merangkul pingat emas untuk Malaysia dalam Sukan Asia, selain pingat perak di Sukan Komanwel 2002.

Pengumuman perasaraan itu mendapat reaksi daripada ramai pemain skuasy dunia. Antaranya ialah Marwan ElShorbagy, Chris Simpson dan Miguel Rodriguez.