Tuah manusia kadang-kadang hadir pada sebahagian dari detik duka.

Martunis baru berusia tujuh tahun apabila kediamannya dibadai tsunami pada Disember 2004. Selepas detik duka itu dia secara tidak sengaja dirakam lensa kamera berpakaian kemeja T Portugal dan bertulis nama Ronaldo.

Untuk makluman, kejohanan Piala Eropah berlangsung di Portugal antara Jun hingga Julai 2004.

Diringkaskan cerita, bintang sensasi Portugal, Ronaldo datang melawat Bali dan bersemuka sendiri dengan Martunis.

Jika pepatah mengatakan rezeki ayam nampak di kaki, rezeki Martinus juga mungkin pada kemahiran kakinya.

Kini dia dipilih mengikuti latihan bersama kelab bola sepak terkenal Portugal, Sporting Lisbon.

Dia tiba di Lisbon pada 29 Jun lalu selepas mendapat diundang menghadiri majlis Gala Honoris Sporting, sekali gus ditawarkan menyertai latihan bersama pasukan itu.

Impian jadi nyata

Presiden Sporting Lisbon, Bruno de Carvalho berkata, Martunis akan menjadi sebahagian akademi itu.

"Ini adalah tajaan Sporting untuk mengembangkan bakat bola sepak dan misi kemanusiaan.

"Mewujudkan impian seseorang menjadi nyata merupakan salah satu peranan kelab ini kepada masyarakat," kata Carvalho.

Martunis pula berkata, peluang yang diberikan Sporting Lisbon disambut dengan perasaan amat gembira dan peluang itu akan digunakan sebaik mungkin.

Pada hari memperingati 10 tahun tsunami 26 Disember 2014 lalu, Ronaldo memuatnaik gambar Martunis yang memakai jersi Real Madrid nombor 7 - sama seperti yang dipakainya di kelab ternama itu.

Bintang asuhan Sporting Lisbon itu pernah bertemu Martunis pada Jun 2005 dalam kunjungannya ke Bali.

"Bertemu Martunis, bagaimana rasanya? Amat seronok dapat melihatnya lagi. Dia sama seperti tujuh tahun lalu. Aku berharap yang terbaik untuknya," kata Ronaldo yang turut bertemu Martunis ketika berkunjung sekali lagi ke Bali pada 2013.

Selepas peristiwa itu, Martunis mendapat penghormatan untuk berkunjung ke Portugal dan bertemu jurulatih kebangsaan negara itu, Luiz Felipe Scolari.