Amerika Syarikat muncul juara Piala Dunia Wanita 2015 selepas mengalahkan Jepun 5-2 pada aksi final di Stadium BC Place, Kanada awal pagi tadi.

Kemenangan USA juga diwarnai dengan rekod gol hatrik terpantas oleh kapten pasukan Carli Lloyd sekali gus mencatatkan rekod hatrik pertama dalam Piala Dunia Wanita.

Llyod hanya memerlukan tiga minit untuk mencipta gol terpantas dalam kejohanan itu menewaskan penjaga gawang Jepun, Ayumi Kaihori.

Selang dua minit, Lloyd sekali menjaringkan gol kedua pasukannya sebelum gol ketiga hadir pada minit ke-13 oleh Lauren Holiday.

Duka Jepun sebagai penyandang juara bertambah apabila Lloyd menjaring gol hatriknya pada minit ke-16 menewaskan Kaihori sekali gus meletakkan pemain itu sebagai penjaring hatrik terpantas.

Lebih menarik, gol ketiga Lloyd itu terhasil melalui tendangan jarak jauh dari tengah padang melemaskan Kaihori yang berada pada kedudukan sedikit keluar dari kawasan gawang.

Sementara itu, Jepun berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-27 melalui pemain Yuki Ogimi.

Manakala pada minit ke-52 menyaksikan Jepun cuba merapatkan jurang gol apabila tandukan Julie Johnson masuk ke gawang sendiri.

Bagaimanapun, Jepun terpaksa akur menyerahkan gelaran juara apabila Tobin Heath menambah jaring buat USA seminit kemudian meletakkan keputusan 5-2 hingga ke wisel penamat.

USA meraih kejuaraan ketiga selepas muncul juara pada edisi Piala Dunia Wanita 1991 dan 1999.

Kemenangan ke atas Jepun itu juga disifatkan dendam yang terbalas apabila mereka kalah kepada pasukan negara matahari terbit itu empat tahun lalu.