Sebaik muncul di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa hari lalu, wajah remaja yang menganggotai skuad bola sepak bawah 13 (B-13) jelas gembira.

Namun yang turut bergembira sebenarnya adalah peminat bola sepak sendiri.

Selepas dikecewakan dengan persembahan longlai skuad utama, rekod dicatat anak buah Lim Teong Kim itu bagaikan sinar baru yang menjelma selepas gelap berpanjangan.

Penolong ketua jurulatih, Raja Azlan Shah Raja Sho'ib ( gambar ) berkata, perjalanan skuad itu masih awal dan mereka perlu menimba lebih banyak ilmu untuk menjadi satu pasukan yang mantap.

Namun ada satu keyataannya yang menarik - dia mahu membudayakan bola sepak seperti apa yang ada di Jerman.

Kata Raja Azlan, jika pembudayaan itu berjaya setiap pemain sudah tahu ke mana arah tuju mereka dalam bola sepak seiring dengan kedewasaan.

"Sekarang kita mahu mengubah mentaliti pemain muda ini. Kita mahu mereka ada tujuan dalam bola sepak," katanya kepada media ketika tiba di KLIA bersama pemain.

Ditanya mengenai sasaran kejohanan akan datang Raja Azlan berkata, fokus mereka kini adalah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia bawah 17 tahun pada 2019.

"Itu adalah sasaran kita. Balik ni kita bagi mereka rehat dulu, selepas itu kita akan dikumpulkan semula mereka pada 22 Julai untuk latihan berpusat di Sekolah Sukan Bukit Jalil," katanya.

Apa yang penting kata Raja Azlan, mereka mahu semua pemain memiliki kekuatan asas.

"Jika asas kuat saya yakin mereka boleh bertahan dan pergi jauh," katanya.