Tanpa jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah, Kelantan membuktikan mereka mampu beraksi cemerlang apabila menewaskan PDRM 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.‎

Skuad The Red Warriors kini dibimbing penolong jurulatih, Zahasmi  Ismail tampil menceriakan kira-kira 1,000 penyokong dengan gol pertama seawal minit keempat perlawanan melalui Iwuji Agustine Amamchi yang menyudahkan hantaran Wan Zack Haikal Wan Nor.

‎Skuad The Red Warriors (TWR) yang dihantui isu "tangan ghaib" sehingga menggangu bekas jurulatih mereka tetap mempamerkan kesungguhan berbanding tiga perlawanan terakhir sebelum ini.

Beraksi pada perlawanan ke-15 Liga Super itu, TRW dilihat mendominasi perlawanan berbanding pasukan tuan rumah walaupun bahagian tengah kelihatan tidak berfungsi.

Kelonggaran benteng pertahanan skuad The Cops memberi peluang kepada Kelantan membuat banyak serangan terutama melalui bahagian kanan padang.

Hasilnya, Kelantan berjaya menambah gol kedua pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi Jonanthan McKain yang menyambut han‎taran sepakan penjuru, Wan Zahrulnizam Wan Zakaria

Sementara babak masa kedua ‎menyaksikan TRW terus menguasai perlawanan dan berjaya membuat beberapa percubaan ke gawang skuad The Cops.

‎Peluang sepakan percuma minit ke-59 oleh kapten Mohd Badri Radzi disambut tandukan‎ Erwin Albeiro Carillo, bagaimanapun berjaya disekat oleh penjaga gol PDRM, Badrulzaman.‎

PDRM cuba bangkit menyaksikan gerakan solo Ashfaq Ali hampir menewaskan Khairul Fahmi Che Mat sebelum Kelantan menjaringkan gol ketiga melalui Carillo pada minit ke-66.‎

Minit ke-73 menyaksikan gol saguhati buat The Cops hasil jaringan pemain sayap kanan, Mohd Faizal Abu Bakar.

PDRM yang cuba menggandakan serangan pada 10 minit sebelum perlawanan berakhir, bagaimanapun gagal menembusi pertahanan Kelantan hingga permainan ditamatkan pengadil, Syed Azhar Syed Kamal.