Kelihatan aneh apabila masalah didakwa dialami bekas jurulatih Kelantan tidak diketahui pembantunya, Zahasmi Ismail.

Ditemui Malaysiakini malam tadi, Zahasmi berkata isu campur tangan "pihak luar" yang dihadapi Mohd Azraai Khor Abdullah disifatkannya sebagai hal peribadi.

Kata Zahasmi Ismail, beliau sendiri tidak mengetahui masalah yang dihadapi bekas bosnya itu.

"Saya tak dapat beri penjelasan kerana itu di bawah kuasa Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan).

"Mungkin isu tersebut melibatkan peribadi beliau (Mohd Azraai) sahaja, tak melibatkan orang lain," kata Zulhasmi kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, Mohd Azraai ( gambar ) mungkin akan dipanggil oleh Kafa untuk menjelaskan perkara sebenar.‎

"Yang (isu) itu kena tanya pengurusan Kafa, saya tak tahu.

"Terserah kepada Kafa untuk tindakan lanjut, begitu juga mengenai pengambilan jurulatih baru," katanya ringkas ketika ditemui sebaik tamat perlawanan antara Kelantan dan PDRM di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Malaysiakini Isnin lalu melaporkan Mohd Azraai melepaskan jawatannya selepas pretasi buruk melanda pasukan itu.

Beliau turut mendakwa kerja kejurulatihanya di Kota Bharu diganggu "tangan ghaib".

Pada masa sama, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa menegaskan pihaknya memandang serius dakwaan Mohd Azraai.