JDT terkulai dibedil Dortmund
Juara Liga Super 2014 Johor Darul Ta'zim (JDT) tewas kepada kelab Jerman Borussia Dortmund pada aksi persahabatan antarabangsa di Larkin, malam tadi.
JDT yang dibarisi pemain-pemain terbaik negara dibelasah 1-6 oleh skuad Dortmund.
Perlawanan sempena jelajah pramusim kelab Bundesliga Jerman itu memperlihatkan satu pengajaran besar buat JDT.
Hantaran pendek, tenang, tangkas dan sasaran tepat dilihat menjadi resipi Dortmund yang perlu dipelajari anak didik Mario Gomes.
Walaupun menamatkan musim lalu di tangga ketujuh, Dortmund membuktikan mereka adalah kelab kekal berprestij.
Menguasai padang sejak detik awal, Dortmund menghasilkan gol pertama melalui sepakan percuma Ilkay Gundogan pada minit ke-22 selepas Gari Steven Robbat melakukan kekasaran.
Lapan minit kemudian, Emerick Aubameyang sekali lagi menewaskan penjaga gawang JDT Farizal Marlias dengan tampanan mudah menyambung hantaran rakan sepasukan.
Dortmund tidak melengahkan waktu apabila Kevin Kampl memporehi peluang susulan keadaan kelam-kabut di depan pintu gol JDT sekali gus meletakkan kedudukan 3-0 pada minit ke-32.
JDT yang banyak kehilangan bola hasil hantaran kurang tepat bagaimanapun berhasil mencipta gol tunggal dalam perlawanan itu hasil hantaran Amri Yahyah yang disempurnakan Gary Steven Robbat di minit ke-40.
Sementara babak masa kedua menyaksikan Dortmund dan JDT masing-masing memasukkan beberapa pemain gantian.
Dortmund yang dipimpin Thomas Tuchel berjaya menghasilkan tiga gol di separuh masa kedua melalui Shinji Kagawa (74'), Jeremy Dudziak (82') dan Marco Ruez (90').

