Malaysia vs Liverpool: Pemain JDT terus tak disenarai
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) terus tiada dalam radar FAM untuk menyertai skuad pilihan kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Liverpool 24 Julai ini.
FAM dalam satu kenyataan hari ini mengeluarkan 20 barisan pemain yang dipilih untuk menyertai latihan di bawah bimbingan ketua jurulatih, Dollah Salleh.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dua pemain (JDT) tersebut diminta bersedia untuk menjalani latihan dan pemilihan pasukan pilihan kebangsaan bagi menggantikan mana-mana pemain yang mengalami kecederaan.
"Di kalangan 15 pemain tempatan yang terpilih di atas, lima daripadanya adalah nama baharu yang tiada dalam senarai 23 pemain skuad kebangsaan ketika dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste dan Palestin, 11 dan 16 Jun lalu.
"Mereka ialah penjaga gol Zamir Selamat (Perak), Razman Roslan (Pahang), Nazirul Naim Che Hashim (Harimau Muda B), Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu)," kata Mohd Hamidin.
Selain itu, lima pemain import turut berada dalam senarai 20 pemain yang akan menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada bermula 19 Julai ini.
Mereka terdiri daripada Dickson Nwakaeme (Pahang), Ashfaq Ali (PDRM), Robert Richard Cornthwaite (Selangor), Thiago Junio De Aquino (Perak) dan Zah Rahan Krangar (Felda United).
Bagaimanapun, dua pemain JDT iaitu Safiq Rahim dan Amri Yahyah hanya diminta bersedia dipanggil menjalani latihan bagi menggantikan mana-mana pemain jika terdapat kecederaan di kalangan senarai 20 pemain tersebut
Pemilihan barisan pemain pasukan pilihan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa itu adalah kali kedua tidak melibatkan pemain JDT selepas perlawanan menentang Tottenham Hotspur 27 Mei lalu.
Pemain JDT yang majoritinya merupakan skuad utama kebangsaan sebelum ini beraksi pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste dan Palestin.
Susulan kekalahan besar kepada Palestin, presiden Persatuan Bola Sepak Johor ketika itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengeluarkan kenyataan supaya FAM tidak menggunakan pemain JDT.
Beliau mendakwa, ada sesetengah pihak yang menyalahkan pemain JDT setiap kali Harimau Malaya kalah teruk.

