'Ejen pemain' ganggu Mohd Azraai di Kota Bharu?
Isu 'tangan ghaib' yang dikatakan mengganggu tugas bekas jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah di Kota Bharu itu dikatakan di kalangan 'ejen pemain' pasukan itu sendiri.
Menurut sumber enggan dikenali, perkara itu mungkin menjadi penyebab Mohd Azraai meninggalkan Skuad The Red Warriors (TRW).
"Gangguan itu mungkin melalui cara individu (ejen) terbabit melobi supaya pemain tersebut diberi keutamaan untuk bermain.
"Mungkin ia melibatkan pemain import, sebab tidak semua pemain import diturunkan pada setiap kali perlawanan dan termasuk hal-hal lain," kata sumber tersebut kepada Malaysiakini .
Bagaimanapun katanya, gangguan itu sepatutnya boleh ditangani Mohd Azraai dengan kredibiliti beliau sebagai ketua jurulatih.
"Mungkin dia (Mohd Azraai) tak kuat untuk atasi cabaran yang dihadapinya. Kerana senario bola sepak Kelantan berbeza dengan negeri lain khususnya aspek sensitiviti penyokong.
"Ditambah dengan prestasi teruk pasukan juga mungkin mendorong Mohd Azraai membuat keputusan untuk letak jawatan," katanya.
Sementara itu, Penolong Jurulatih TRW, Zuhasmi Ismail ketika ditemui sebelum ini berharap Persatuan Bola Sepak Kelatan (KAFA) dapat selesaikan perkara itu.
Ditanya sama ada KAFA perlu melantik jurulatih baharu beliau berkata, kekosongan jawatan itu perlu diisi untuk memantapkan lagi pasukan.
"Buat masa ini saya yang mengambil alih tugas jurulatih. Ini tanggungjawab yang perlu saya laksanakan.
"Insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik dengan kemampuan kita untuk mengharungi baki sembilan perlawanan liga super musim ini," katanya selepas Kelantan melakar kemenangan 3-1 ke atas PDRM di Stadium Shah Alam Rabu lalu.
Malaysiakini Isnin sebelum ini melaporkan Mohd Azraai meletak jawatan sebagai pengendali TRW dan mendakwa tugasnya diganggu dengan campur tangan pihak tertentu.
TRW makin bergolak
Sementara itu, pasukan bekas Juara Liga Super 2012 itu dikhabarkan terus bergolak dengan konflik dalaman selepas Pengurus TRW, Azman Ibrahim 'diarah' meletak jawatan.
Sinar Harian hari ini melaporkan berita mengejut itu hadir seminggu selepas ketua jurulatih, Mohd Azraai meninggalkan pasukan itu setelah tidak sanggup lagi melayan kerenah ‘tangan-tangan ghaib’ yang sering mencampuri tugasnya.
Satu sumber yang enggan didedahkan memberitahu, Azman dikatakan mendapat tekanan daripada ahli majlis persatuan itu sendiri untuk melepaskan jawatan yang disandangnya sejak enam tahun lalu.
Difahamkan, tugas Azman selaku pengurus pasukan berakhir sejurus Kelantan melakar kemenangan 3-1 ke atas PDRM di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

