Peserta maraton SCKL 'serang' FB Khairy
Peserta Standard Chartered KL Marathon 2015 (SCKLM) 'menyerang' Facebook Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selepas beliau mengumumkan program itu ditunda dari 4 Oktober (Ahad) kepada 10 Oktober (Sabtu), semalam.
Khairy berkata penundaan tarikh itu dibuat bagi mencapai sasaran tiga juta rakyat Malaysia menjayakan Hari Sukan Negara yang akan berlangsung pada hari sama (10 Oktober).
Melalui 35,000 peserta SCKLM yang telah berdaftar dilihat akan membantu kehadiran bilangan rakyat di Hari Sukan Negara.
Bagaimanapun, tindakan itu ditentang peserta khususnya mereka yang telah membuat tempahan tiket penerbangan dan penginapan untuk menyertai acara larian itu pada tarikh asalnya.
"Saya tak menyangka SCKLM akan mengubah tarikh semata-mata untuk diadakan pada Hari Sukan Negara," kata pengguna Facebook Zul Hilmi Hamdun.
"Lepas tu nanti keluar berita Hari Sukan Negara berjaya. Kredit dapat kepada KJ. Senangkan buat kerja macam ni? tulis Mohd Asyraf Noordin.
Seorang lagi pengguna, Leila Asoi Arinen merayu supaya menteri itu menimbang semula perubahan tersebut.
"Tolong kekalkan tarikh SCKLM, bukan seorang dua yang dah beli tiket kapal dan tempah hotel. Sila ambil masa baca Facebook SCKLM, bukan orang Malaysia saja, orang luar pun banyak mengadu," katanya.
'Semua musnah...'
"Saya kumpul wang untuk beli tiket pnerbangan dan tempah hotel. Saya juga amat gembira dapat mendaftar menyertai maraton kategori 42 kilometer.
"Sekarang semua musnah kerana tarikh acara ditukar sesuka hati. Kementerian tidak patut melakukan (perubahan) ini," kata Tamida Da'adi.
Semua komen tersebut telah dikirim pada 'posting' tidak berkaitan SCKLM di Facebook Khairy, sebaliknya ditulis pada gambar-gambar majlis penyerahan sumbangan yang dihadiri menteri itu.
Sementara itu, di Facebook rasmi SCKLM terdapat lebih 1,000 komen pelbagai respon susulan hebahan penundaan tarikah program tersebut.
Malaysiakini semalam melaporkan MP Serdang Dr Ong Kian Ming turut mengemukakan bantahan terhadap keputusan Khairy yang disifatkan sebagai campur tangan politik dalam acara itu.
Kian Ming berkata, mengadakan program itu pada Sabtu ia tidak sesuai kerana hari bekerja dan sesetengah orang perlu mengambil cuti untuk datang lebih awal.
Tambah beliau, ramai peserta terlibat telah menempah penerbangan dan tidak akan mendapat balik ganti rugi susulan pembatalan tarikh asal.

