Penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi Namewee nampaknya tidak ketinggalan untuk memberi pandangannya berhubung insiden rusuhan di Plaza Low Yat, Bukit Bintang.

Dalam video yang dimuat naik di akaun Youtubenya, Namewee mempersoalkan sama ada isu tersebut melibatkan pergaduhan kaum atau sebaliknya.

Dalam video sepanjang 1.04 saat itu, Namewee berpandangan isu tersebut bukan isu perkauman tetapi isu pergaduhan yang melibatkan "kaum polis", "kaum pencuri" dan "kaum gengster".

"Tentang isu Low Yat, ada yang kata itu isu perkauman. Untuk saya, saya nampak dalam video (yang viral itu) ada kaum polis, kaum pencuri dan kaum gengster.

"Tapi saya tak nampak kaum lain," katanya.

Di dalam videonya itu, Namewee turut menunjukkan beberapa barang dan bertanya kepada penonton tentang warna barangan tersebut.

Memandangkan video tersebut disetkan kepada warna hitam dan putih, maka warna barang tersebut tidak dapat dikenal pasti.

"Contohnya jam G-Shock ini warna apa? Tak tahu kan? Tapi (semua tahu) ini jam G-Shock. Pemetik api ini warna apa? Topi saya warna apa? Seluar pendek ini warna apa? Tak tahu kan?

"Jadi rakyat Malaysia, sabar. Isu dekat Low Yat bukan (isu) warna atau kaum tapi tentang pencuri, gengster dan polis. Jadi semua orang sabar dan biar pihak polis yang 'kawtim' (selesaikan).

"Katakan tidak pada rasisme. Jangan bergaduh," katanya.

Sabtu lalu, satu pergelutan berlaku di sebuah kedai telefon pintar di Plaza Low Yat selepas sekumpulan pemuda bergaduh dengan pekedai di pusat membeli-belah barangan elektronik itu.

Seramai tujuh pemuda dilihat mengamuk selepas rakan mereka ditahan kerana didakwa mencuri telefon bimbit.

Berikutan kejadian itu, satu perhimpunan oleh kumpulan yang mendakwa mewakili NGO Melayu berhimpun di depan Plaza Low Yat sebagai tindak balas insiden pergaduhan itu.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 200 orang menyebabkan kecederaan beberapa wartawan, seorang pekerja bar dan orang awam selepas perhimpunan itu bertukar menjadi kekasaran.

Seorang lelaki, Shahrul Anwar Abdul Aziz, 22, yang dituduh mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat yang mencetuskan kekacauan di kompleks membeli-belah popular itu pada malam Ahad, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.

Shahrul bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.


habis