Di atas balapan dia adalah yang terpantas, tetapi secara peribadi Abdul Hakim Sani Brown mempunyai hobi yang ironi – tidur.

Raja pecut remaja itu semalam mencatat namanya apabila menjuarai larian 100 dan 200 meter di Kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Persatuan Atlet Antarabangsa (IAAF) yang diadakan di Cali, Colombia.

Dalam acara 100 meter, Abdul Hakim mencatat masa 10.28 saat, manakala bagi acara 200 meter dia mencatat masa 20.34 saat. Kedua-duanya adalah rekod baru kejohanan.

Dia adalah atlet kedua berjaya menjuarai kedua-dua acara larian pecut itu dalam kejohanan sama dalam tempoh sedekad selepas pelarin Great Britain, Harry Aikines-Aryeetey di Marrakech, Maghribi.

Ada beberapa faktor yang unik pada pelari berusia 16 tahun itu.

Selain jarang muncul pelari pecut handalan dari Jepun, latar belakang Abdul Hakim juga menarik.

Lahir di Fukuoka pada Mac 1999, Abdul Hakim adalah anak kepada pasangan lelaki Ghana dan wanita Jepun.

Bakat dan kebolehan Abdul Hakim kemungkinan besar diwarisi daripada ibunya yang pernah mewakili sekolah menengah dalam acara larian berpagar.

Tahu boleh lebih baik

Pada peringkat awal, seperti kebanyakan remaja lain di Jepun Abdul Hakim menyertai pasukan bola sepak dan diletakkan di posisi penyerang sehinggalah dia berusia 10 tahun apabila menukar haluan menjadi pelari pecut.

Empat tahun kemudian Abdul Hakim dan keluarganya mula menyedari dia bukan saja berbakat dalam acara olahraga, malah mempunyai masa depan cerah dalam sukan itu.

Kejohanan di Cali kali ini adalah penyertaan rasmi pertama Abdul Hakim di luar Jepun.

“Saya berlari dengan baik tetapi masih melakukan beberapa kesilapan. Cuma kini saya tahu saya boleh berlari dengan lebih baik,” kata pelari memiliki ketinggian 1.87 meter itu menceritakan kejayaannya kali ini.

Untuk masa depan, Abdul Hakim berharap dia layak menyertai Sukan Olimpik di Rio de Janeiro tahun depan.

Mengenai kegiatan masa lapangnya Abdul Hakim berkata aktiviti paling digemari ialah tidur.

“Antara 12 hingga 13 jam,” katanya mengenai tempoh dia memejamkan mata setiap hari.