Presiden Fifa Sepp Blatter yang dibelenggu skandal rasuah terpaksa membatalkan sidang medianya apabila 'dimandikan' dengan wang palsu sebagai cara mempersendanya.

Sebelum itu Blatter bersiap sedia mengadakan sidang media bagi mengumumkan badan induk bola sepak dunia itu akan mengadakan pemilihan bagi mencari presiden baru.

Blatter tidak akan bertanding dalam pemilihan berkenaan.

Apabila Blatter mengumumkan mengenai pemilihan baru itu, pelawak British Lee Nelson tampil di depannya bersama secekak wang palsu.

Nelson - atau nama sebenarnya Simon Brodkin - segera diapit pengawal keselamatan tetapi sejurus sebelum dibawa pergi, dia mencampakkan kertas berkenaan ke arah Blatter yang kelihatan terkejut.

"Nah, Sepp!" katanya.

Blatter menyatakan pemilihan baru untuk jawatan Presiden Fifa akan diadakan di Zurich pada 26 Februari tahun depan.

"Pada 26 Februari Fifa akan mendapat presiden baru," katanya yang ditanya berkali-kali sama ada beliau akan mempertahankan jawatan itu atau sebaliknya.

Nelson bukanlah aneh dalam aksi mengejutkan seperti itu.

Sebelum ini dia pernah mengganggu konsert Kanye West di Glastonbury pada bulan lalu, selain cuba menyertai skuad bola sepak England ketika mereka menaiki kapal terbang menuju ke Brazil pada tahun lalu.

Mengulas kejadian itu kemudian, Blatter berkata, ia berlaku akibat Nelson "tidak mendapat pendidikan secukupnya".

Blatter, 79, memenangi pemilihan presiden pada awal tahun ini mengalahkan Putera Ali Al Hussein dari Jordan.

Namun pada 2 Jun lalu dia mengumumkan peletakan jawatan ekoran Fifa dibayangi dakwaan rasuah dengan beberapa individu sudah ditangkap pihak berkuasa di Eropah.

Dia akan terus memegang jawatang berkenaan sehingga kongres luar biasa diadakan bagi memilih penggantinya.

Pada 26 Jun lalu Blatter menunjukkan isyarat tidak mahu berundur apabila berkata, mandatnya sebagai Presiden Fifa "terletak di tangan perwakilan kongres" yang akan diadakan nanti.

Dia memegang jawatan itu sejak 1998.