Selepas meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai Penaung Diraja PBNJ.

Pelantikan itu menjadikan persatuan berkenaan perlu mempersembahkan segala urusan berkaitan kepada Tunku Ismail bagi mendapatkan persetujuan sebelum sebarang keputusan diambil.

Status terbaru TMJ itu diperkenan dan diumum Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan berkuat kuasa mulai semalam.

Ia turut dimuat naik di laman rasmi Johor Southern Tigers di Facebook.

Baru-baru ini Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya mengumumkan peletakan jawatan Tunku Ismail sebagai presiden persatuan berkenaan.

Kekosongan ditinggalkan Tunku Ismail itu diisi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.

 

PENAUNG DIRAJA PERSATUAN BOLASEPAK NEGERI JOHORDYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang...

Posted by JOHOR Southern Tigers on  Tuesday, July 21, 2015

Sementara itu dalam status dimuat naik hari ini, Tunku Ismail berkata beliau kini tidak lagi bercadang memberi penjelasan kepada sesetengah penyokong bola sepak negara.

Katanya tindakan itu dibuat selepas menyedari "tahap pemahaman mereka adalah berdasarkan kebijaksanaan mereka". Bagaimanapun tidak dapat diketahui maksud sebenar mesej di sebalik kenyataan itu.

Namun, gambar yang mengiringi status berkenaan juga menarik untuk diperhatikan kerana ia dipercayai membawa mesej tertentu.

 

Saya berhenti memberi penjelasan kepada sesetengah penyokong bolasepak tanahair, apabila saya menyedari bahawa tahap...

Posted by JOHOR Southern Tigers on  Tuesday, July 21, 2015