Dollah idam menang, Rodgers nak cergaskan pemain
Walaupun mungkin dapat dilihat rasa kurang yakin, ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh bertegas mahu mencatatkan kemenangan ketika menghadapi Liverpool pada Jumaat ini.
Bertempat di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Dollah mahu melakar sejarah tersendiri dengan membuktikan ramuannya benar-benar berkesan.
"Kita bermain untuk menang, tapi itulah, kalau nak ikutkan Liverpool nampak lebih bersedia," katanya ketika ditemui di sidang media menjelang pertemuan skuad Pilihan Malaysia dan Liverpool di Subang hari ini.
Di sebalik harapan tinggi itu, Dollah juga yakin dengan bantuan pemain import pilihannya, skuad kebangsaan akan turun dalam keadaan lebih mantap.
"Kita kena tunjuk yang terbaik sebab kita bermain dengan pasukan gergasi dan saya percaya semangat pemain walaupun baru dua tiga hari kita berlatih.
"Dengan semangat juang pemain, saya percaya kita akan beri yang terbaik, insya-Allah," katanya.
Di pihak pasukan pelawat, mereka pula hadir sekadar bermain untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain.
Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berkata, anak buahnya akan mengekalkan rentak kemenangan seperti perlawanan sebelum ini sebagai persediaan menghadapi musim baru Liga Perdana Inggeris yang bermula Ogos nanti.
Katanya, matlamat akhir bagi perlawanan pramusim ini adalah untuk mengembalikan dan mengekalkan tahap sebenar kecergasan pemain selain menambah baik taktik serta teknik permainan.
"Musim lalu mengecewakan kita. Kami perlu memastikan pemain-pemian yang dibawa berkualiti dan mempunyai cita-cita membantu pasukan ke arah kepada lebih baik," kata Rodgers.
Turut sama pada sidang media tersebut adalah ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson ( gambar ) dan pemain tengah, James Milner.
Pada siri perlawanan persahabatan jelajah pramusim sebelum ini The Reds mencatat kemenangan 4-0 bertemu Thai All Stars dan menewaskan Brisbane Roar 2-1 dan menundukan Adelaide United 2-0 di Australia, semalam.
Pertemuan dengan Malaysia XI di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat ini merupakan perlawanan terakhir sebelum mereka kembali ke England.

