Baru bertandang ke Old Trafford, Memphips Depay sudah menjaja janji. Dan ia bukan sembarangan.

Membawa imej sebagai penyerang berbisa pemain kebangsaan Belanda itu mengungkapkan kata-kata untuk menjaringkan banyak gol buat Manchester United (MU).

Pada aksi pramusim berdepan kelab San Jose Earthquakes, Depay menghasilkan gol sulung bagi membolehkan anak didik Louis van Gaal itu menang bergaya 3-1, semalam.

"Ia adalah gol pertama saya untuk MU. Ia masih awal dan saya akan ciptakan lebih banyak jaringan.

"Saya rasa sangat seronok bermain sebagai penyerang dan teruja dapat mencipta gol selain membantu rakan lain membolosi gawang lawan," kata Depay seperti dilaporkan laman rasmi pasukan itu.

Selepas Juan Mata menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-32, Depay membuat gerakan cantik bagi menghasilkan gol kedua - dan pertama untuknya bagi MU - ke-37.

Gol ketiga pula dihasilkan Andreas Pareira pada minit ke-61.

Earthquakes merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-43 melalui Fatai Alashe.

Pada aksi seterusnya, MU dijadual bertemu Barcelona pada Sabtu ini di Levi's Stadium, California.

Terdahulu, Barcelona berjaya menewaskan LA Galaxy dengan jaringan 2-1.