Walaupun pasukan Pilihan Malaysia tidak setaraf Liverpool tetap menganggap perlawanan pertunjukan malam ini sebagai sesuatu yang penting kerana ia diperhatikan dengan teliti oleh pengurus The Reds, Brendan Rodgers.

Itu isyarat ditunjukkan pemain tengah Liverpool, Adam Lallana.

"Ini adalah peluang kami membuktikan kebolehan kepada pengurus supaya terpilih menjadi kesebelasan utama pada saingan musim akan datang.

"Semua pemain perlu membuktikan memiliki tahap kecergasan terbaik menjelang permulaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL)," katanya ditemui media selepas sesi latihan terakhir di Stadium Bukit Jalil, semalam.

Liverpool sedang melakukan siri jelajah pramusim sebelum memulakan cabaran baru EPL bulan depan.

Mereka dijadual berangkat ke London selepas menamatkan perlawanan malam ini.

Belasah 7-0

‎Tambah Lallana, Liverpool sentiasa menghargai peminat yang memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.

Justeru, katanya, perlawanan malam ini akan dipersembahkan sebaik mungkin sebagai penyokong mereka.

"Saya teruja melihat penyokong di sini. Sambutan hangat ditunjukkan sejak kami sampai di Kuala Lumpur," katanya

Sementara itu pemain sayap Jordon Ibe berpendapat ‎pertemuan dengan Pilihan Malaysia sangat penting untuk memperbaiki kelemahan pasukannya.

"Perlawanan ini bagus untuk kami sebagai persiapan sebelum musim baru. Ini sebahagian daripada permainan dan kami perlu hadapinya," jelas Ibe.‎‎

Sementara itu kira-kira 6,000 orang hadir di stadium untuk menyaksikan pasukan pujaan mereka mengadakan latihan sambil menentang kelab Liga Super, Felda United.

Perlawanan itu berkesudahan tanpa sebarang kejutan apabila Liverpool membenam lawan mereka 7-0.