Benteke adalah khabar gembira di Anfield
Kehadiran penyerang baru Christian Benteke di Anfiled dianggap sebagai khabar cukup menggembirakan buat pemain Liverpool bagi memperkukuhkan jentera serangan ke gawang lawan.
Pemain tengah The Reds, Lucas Leiva berkata kelincahan dimiliki bekas pemain Aston Villa itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengurus Brendan Rodgers.
"Kami ada pengalaman bermain menentang beliau dalam saingan EPL (Liga Perdana Inggeris). Dia pemain yang sukar dikawal kerana fizikal yang sasa dan kuat.
"Saya yakin penyokong juga dapat menerima kehadiran Benteke ( gambar ). Kami berharap dia akan memberikan aksi bertenaga bersama rakan sepasukan dan menjaringkan banyak gol," kata Lucas kepada media semalam.
Liverpool sedang berada di Kuala Lumpur sejak semalam dan bakal turun menentang pasukan Pilihan Malaysia di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam ini.
Mereka akan terbang ke England selepas perlawanan malam nanti.
Mengulas mengenai pemain baru seperti James Milner dan Danny Ings, Lucas berkata, sepanjang siri jelajah Asia pemain tersebut banyak membantu pasukan untuk memenangi perlawanan persahabatan.
"Mereka banyak membantu. Sepanjang lawatan pramusim kami banyak menghabiskan masa bersama dan cuba untuk menyesuaikan diri dengan baik.
"Cuma kami berharap dalam tempoh beberapa minggu ini dapat meningkatkan kecergasan dan taktikal serta bersedia untuk perlawanan pertama EPL," jelasnya.

