Pedulilah apa saja kalau hati sudah suka - lakukan saja.

Daripada ribuan penyokong kelab Liverpool, sekurang-kurangnya ada seorang yang mudah mencuri perhatian ramai.

Memberi kelainan bagi memeriahkan perlawanan persahabatan antarabangsa antara The Reds dan Pilihan Malaysia, Mohd Firdaus Ismail, 23, hadir memakai baju Melayu dan lengkap bersampin serta bersongkok.

"Sempena Syawal yang masih awal ini, saya memilih untuk berbaju Melayu dan bersongkok untuk beraya dengan Liverpool.

"Biarlah saya tonjolkan budaya kita walaupun penyokong lain memilih untuk pakai jersi Liverpool," kata Mohd Firdaus ( gambar ) ketika ditemui Malaysiakini di pekarangan Stadium Bukit Jalil, petang ini.

Pemuda dari Kuala Kangsar, Perak berbaju itu berkata, dia datang dengan berkonvoi bersama rakan-rakan menaiki 11 kereta ke Bukit Jalil.

"‎Apa yang penting adalah saya dan rakan-rakan datang untuk memberi sokongan padu dan melihat dengan mata sendiri aksi The Reds malam ini," katanya.

Sementara itu, sehingga jam 6 petang sudah ada ribuan penyokong Liverpool membanjiri pekarangan stadium dengan pelbagai gaya dan ragam.