Malaysia, Liverpool seri: Dollah lega Rogders lemas?
Adakah Liverpool kini setaraf dengan Timor Leste?
Tentulah tidak, tetapi keputusan perlawanan pertunjukan malam tadi - jika difikirkan secara santai dan berjenaka - membayangkan 'realiti' berkenaan.
Namun hakikatnya ia tidaklah semudah sifir itu.
Mana mungkin Liverpool disamakan dengan Timor Leste. Dengan sekian banyak kejayaan dicatat The Reds pada zaman silam, skuad itu adalah nama besar dalam dunia bola sepak antarabangsa.
Pada masa sama, kemampuan Pilihan Malaysia mengelak daripada tewas adalah kejayaan yang boleh dibanggakan, terutama untuk FAM dan Dollah Salleh.
Namun untuk membuat kesimpulan begitu secara mutlak juga sukar kerana beberapa faktor perlu diambil kira.
Misalnya, hakikat Pilihan Malaysia bermain dengan bantuan lima pemain import, manakala Liverpool sendiri tidak menurunkan kesebelasan utama mereka ketika menentang kelab Queen Park Rangers dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2 Mei lalu.
Perlawanan dulu jauh berbeza
Dollah mungkin boleh tersenyum bangga kerana tidak kalah, tetapi bagaimana perasaan pengurus Liverpool, Brendan Rodgers agaknya.
Tanpa memiliki banyak rekod yang membanggakan pada saingan EPL musim 2014/15 sedikit sebanyak ia boleh dilihat mencalar kewibawaan Rodgers.
Jika itu benar-benar berlaku, kita - secara santai dan berjenaka juga - boleh membayangkan jika Dollah menghampiri Rodgers ( gambar ) sambil menepuk-nepuk bahu lelaki Ireland Utara itu sambil berkata: "Bertabahlah..."
Untuk makluman Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 dalam pertemuan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Timor Leste pada 11 Jun lalu.
Dalam perlawanan pertunjukan malam tadi Pilihan Malaysia membuat kejutan awal (pada minit ke-12) apabila wakil PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh, membolosi gawang Liverpool yang dikawal Adam Bogdan.
Bagaimanapun kegembiraan penyokong Malaysia hanya bertahan selepas Jordon Ibe menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-28.
Selepas kedudukan terikat pada separuh masa pertama Liverpool tampil dengan beberapa serang berbahaya pada babak masa kedua bagaimanapun kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri itu.
Kali terakhir The Reds menentang skuad Pilihan Malaysia ialah pada 2011 dan menyaksikan mereka melakar kemenangan 6-3.

