Tidak seperti dijangka, perlawanan pertunjukan antara pasukan Pilihan Malaysia dan Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi menyaksikan kemerosotan ketara jumlah penyokong yang hadir berbanding 2011.

Mengikut pengumunan rasmi pihak penganjur, kira-kira 60,000 penonton hadir tetapi tinjauan Malaysiakini menganggarkan jumlah maksimum peminat di dalam stadium kira-kira 50,000 orang.

Selepas perlawanan berlangsung kira-kira 10 minit, kekosongan tempat duduk di stadium yang boleh memuatkan sehingga 85,000 penonton dapat dilihat dengan jelas.

Ia berlainan sekali dengan perlawanan pramusim empat tahun lalu apabila stadium sama kelihatan penuh dan meriah dengan peminat.

Antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada kemerosotan itu ialah faktor pasukan negara tidak dibarisi pemain skuad Harimau Malaya, sebaliknya kehadiran pemain asing.

Satu lagi sebab ialah ketiadaan lejenda The Reds, Steven Gerrard yang meninggalkan kelab untuk bermain di liga AS.

Mengulas perkembangan itu, jurucakap Ultras Malaya, Alfadli Awaludin berkata perlawanan malam tadi sebenarnya tidak menyumbang apa-apa pun kepada negara.

Kata Alfadli, perlawanan itu hanya pertunjukkan dan tiada kena mengena dengan skuad kebangsaan dan Ultras sendiri.

"Mentaliti dan pemahaman terhadap perbezaan sesuatu perlawanan perlu ada. Perlawanan persahabatan dan pertunjukan ada bezanya," kata Alfadli kepada Malaysiakini .

Menurutnya, Ultras Malaya menolak sama sekali sebarang usaha yang tidak mendatangkan faedah kepada bola sepak negara, lebih-lebih lagi perlawanan yang hanya menguntung individu tertentu saja

Tambah Alfadli ( gambar ),  pemain bola sepak di Malaysia perlu lebih memahami hak mereka sebagai pemain agar tidak digunakan sesuka hati oleh segelintir individu yang ingin mengaut keuntungan.

"Misalnya, jadual liga tempatan terpaksa ditunda bagi memenuhi nafsu serakah individu berkenaan dan merugikan penyokong bola sepak yang membuat persiapan berdasarkan jadual asal," katanya.

Semenara itu, sebaik tamat perlawanan yang menyaksikan Pilihan Malaysia dan Liverpool seri 1-1, rasa tidak puas hati penyokong boleh dilihat dengan mudah.

Pelbagai objek 'terbang' ke arah padang disusuli dengan bunyi letupan mercun serta tindakan membakar suar mencemari suasana di stadium.

Perlawanan itu juga menyaksikan seorang lelaki cuba meluru ke dalam padang sebelum ditangkap oleh polis.