Tiba-tiba naturalisasi pula, kata Ultras Malaya
Sebaik perlawanan pasukan Pilihan Malaysia berakhir dengan keputusan seri dengan kelab Liverpool FC Jumaat lalu, tiba-tiba perkataan 'naturalisasi' kedengaran.
Malah sudah ada cadangan oleh badan induk bol sepak negara terbuka dengan cadangan untuk memantapkan skuad bola sepak kebangsaan.
Ia bertentangan dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini yang memilih untuk menggunakan pemain tempatan sahaja dalam skuad Harimau Malaya.
Bagi penyokong tegar skuad kebangsaan atau Ultras Malaya, isu naturalisasi sengaja ditimbulkan semula untuk menutup kelemahan pengurusan bola sepak di Malaysia.
Dakwa Ultras, bola sepak Malaysia gagal kerana sistem yang ketinggalan zaman dan tiada visi dan misi jelas dari FAM.
"Isu naturalisasi sengaja dibangkitkan untuk menutup kegagalan pentadbir sahaja. Macam mana dengan satu perlawanan yang bukan kompetitif, seorang jurulatih sudah boleh buat keputusan.
"Kalau naturalisasi berlaku sekali pun, tanpa visi dan misi serta pembangunan sistem bola sepak yang betul, tiada guna naturalisasi," kata jurucakap Ultras Malaya, Alfadli Awaludin kepada Malaysiakini .
Mengambil contoh naturalisasi oleh negara lain, katanya, Jepun laksana naturalisasi tetapi pada masa sama mempunyai sistem pembangunan bola sepak yang betul.
"Kita boleh tengok Singapura, naturalisasi diamalkan tetapi liga bola sepak mereka carcamarba, tiada isi dan misi yang jelas. Tak ke mana juga.
"Korea Selatan dan utara serta China tiada naturalisasi, tetapi mereka boleh layak ke Piala Dunia," katanya.
Faktor fizikal bukan alasan
Sementara itu, fizikal pemain yang dijadikan alasan untuk Malaysia bersaingan dengan pemain Eropah hanyalah alasan semata-mata.
Alfadli berkata, pasukan bola sepak di negara Timur Tengah yang mana fizikalnya bersaiz besar juga tidak konsisten layak ke Piala Dunia.
"Jadi, dekat mana yang kata fizikal itu sangat penting sehingga perlu gunakan pemain asing?" soal Alfadli.
Tambahnya, isu sekarang bukan naturalisasi atau tidak sebaliknya perancangan FAM sendiri perlu lebih jelas.
"Naturalisasi ini hanya sekadar isu untuk menutup kegagalan pihak pentadbir yang menguruskan bola sepak Malaysia. Dollah Salleh juga terdesak untuk periuk nasinya membuatkan beliau takut menyatakan realiti bola sepak Malaysia," katanya.
Pada perlawanan pertunjukan di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat lepas, Pilihan Malaysia yang turut dibarisi pemain import memperlihatkan kemampuan dengan mengikat kelab gergasi England itu.
Kemudian secara tiba-tiba 'naturalisasi' disebut-sebut, sedangkan soalan yang perlu difikirkan adakah Liverpool bermain dengan prestasi sebenar ketika mereka berlawan untuk tingkatkan kecergasan?
Semalam, FAM dilaporkan bersikap terbuka mengenai cadangan penggunaan pemain naturalisasi demi meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu menyokong cadangan berkenaan namun perlu mengambil kira pandangan daripada kerajaan kerana ia melibatkan kewarganegaraan seseorang individu.

