Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Isteri Benitez pun jadi mangsa mulut Maurinho
Diterbitkan:  Jul 30, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: Jul 31, 2015 4:56 AM

Keceluparan mulut Jose Mourinho bagaikan tidak pernah ada batas.

Selepas dikecam, pengurus Chelsea itu hari ini dilaporkan mengecam isteri Maria de Montserrat, isteri kepada Rafael Benitez.

"Wanita itu agak keliru. Saya tak ketawa pun," katanya dengan wajah mencuka ketika ditemui media.

Sebenarnya kejadian itu berpunca daripada komen Maria yang secara bergurau mendakwa Benitez terpaksa "membersihkan keserabutan" ditinggal Mourinho apabila dia tiba untuk menjadi pengurus Real Madrid baru-baru ini.

Mourinho adalah bos di Santiago Bernabeu sebelum dia kembali menjadi orang kepercayaan Roman Abramovich di Stamford Bridge.

Kekosongan Mourinho diisi Carlo Ancelotti sebelum kini diganti pula oleh Benitez.

Tegang sudah lama

Ia adalah kepulangan kali ketiga Benitez di Santiago Bernabeu.

Selepas mengendalikan perlawanan Chelsea - Barcelona, Mourinho membalas kenyataan Montserrat dengan begitu kejam.

Menurut Mourinho, suami Maria (Benitez) pergi ke Chelsea untuk menggantikan Roberto di Matteo, kemudian ke Real Madrid untuk menggantikan Carlo Ancelotti.

“Satu-satunya kelab tempat suami Maria dapat menggantikan saya ialah di Inter Milan dan selama enam bulan dia (Benitez) memusnahkan pasukan terbaik Eropah ketika itu.

"Kepada Maria yang meluangkan masa bercakap mengenai saya, berfikir mengenai saya; lebih baik dia gunakan waktu itu menguruskan pemakanan Benitez supaya dia tidak ada masa bercakap tentang saya," katanya.

Hubungan Mourinho - Benitez memang sedia tegang sejak kedua-dua mereka bersaing di Liga Perdana Inggeris suatu ketika dulu.

Mourinho menguruskan pasukan Chelsea manakala Benitez pula menjadi pengendali Liverpool.

Ketika Liverpool mencatat kemenangan manis mereka dengan menjulang Piala Liga Juara-juara pada 2005 - dan dikenang peminat mereka sehingga kini - lawan yang ditewaskan ialah Inter Milan.

Mourinho menjadi pengurus kelab itu manakala Benitez di Liverpool.

Apabila Mourinho mengemudi Chelsea menjadi Juara Liga EPL pada 2005 dan 2006, Benitez menilai Arsenal sebagai pasukan lebih baik berbanding anak buah pengurus dari Portugal itu.

Setahun kemudian apabila Livepool mengalahkan Chelsea di Anfield, Benitez ditanya mengapa kedua-dua mereka tidak bersalaman selepas perlawanan.

Ini adalah jawapan Benitez: "Saya dan Jose kawan baik sehingga Liverpool mengalahkan mereka (Inter Milan). Sejak itu dia nampaknya berubah."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS