Pertarungan berakhir, perseteruan seolah-olah abadi
Selepas perlawanan Piala Komuniti - yang menandakan bermulanya kehangatan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2015/16 - malam tadi, pengurus Arsenal meninggalkan padang begitu sahaja sebaik wisel penamat ditiupkan.
Biasanya kedua-dua pengurus pasukan akan bersalaman sebagai meraikan semangat kesukanan namun ia tidak berlaku pada malam tadi.
Malah selepas majlis penyampaian piala dan peluang terbuka sekali lagi, detik itu tidak berlaku.
Jose Mourinho menunggu di tepi padang dan bersalaman dengan pemain Arsenal tetapi pengurus The Gunners, Arsene Wenger berjalan begitu saja di belakangnya.
Ia mungkin tidak terjadi jika salah seorang pengurus itu bukan bernama Mourinho.
Sejak sekian lama sangat jarang ada ayat yang menyenangkan hati keluar daripada mulut lelaki dari Portugal itu jika dia bercakap mengenai bola sepak.
Mengulas kekalahannya kepada The Gunners malam tadi, Mourinho berkata: "Pasukan terbaik kalah, pasukan bertahan yang menang."
Di sebalik kekalahan itu juga Mourinho menganggap tiada apa yang istimewa kepada Arsenal dan dia tetap menganggap rekod tanpa tewas Chelsea dalam 13 perlawanan bertemu Arsenal sebelum ini sebagai sesuatu yang sangat istimewa.
"Sesuatu perlawanan itu tidak boleh dikaitkan dengan perlawanan lain. Tetapi melalui 13 perlawanan tanpa kalah memang hebat," katanya.
Bukan pengakhiran dunia
Dalam perlawanan menandakan pembukaan musim baru EPL malam tadi Arsenal muncul sebagai pemenang hasil jaringan Alex Oxlade-Chamberlain di minit ke-24.
Piala Komuniti mempertemukan Juara Liga EPL dengan Juara Piala FA.
Arsenal memperoleh beberapa peluang baik tetapi kecekapan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois, menyelamatkan keadaan.
Gawang The Gunners pula dikawal baik oleh bekas penjaga gol The Blues, Peter Cech.
Mengenai keengganan Wenger bersalam itu Mourinho berkata, dia bertindak sesuai dengan status kelab dan kedudukannya.
"Saya berada di kedudukan yang tidak boleh dilihat jika anda tidak mahu melihat.
"Jika orang lain tidak datang kepada saya, ia bukan masalah dan bukan pengakhiran dunia," katanya.
Dan ini pula reaksi Wenger: "Selepas perlawanan saya bersalam dengan beberapa orang di tepi padang tetapi tiada seseorang yang istimewa di situ," katanya.
Untuk makluman, The Special One adalah gelaran untuk Mourinho ( atas ) dan istilah itu diciptanya sendiri beberapa tahun lalu.

