Naturalisasi ibarat tiada maruah, kata menteri
Cadangan untuk naturalisasi pasukan bola sepak negara bagi meningkatkan mutu sukan itu dianggap menjejaskan maruah negara Malaysia.
Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau setuju sekiranya seseorang pemain itu diberikan kerakyatan jika ada kaitan dengan Malaysia.
"Klausa di bawah FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang membolehkan sesiapa yang telah menduduki melebihi lima tahun di sesebuah negara saya tak berapa setuju.
"Yang itu walaupun dibenarkan oleh FIFA, sedikit tak ada maruah," katanya kepada media ketika hadir majlis perasmian Ski Malaysia di Wisma OCM, Kuala Lumpur hari ini.
"Pada saya adalah lebih baik kita tumpukan kepada pembangunan, kepada NFPD (program pembangunan bola sepak negara) untuk lahirkan pemain yang betul-betul Malaysia.
"Ataupun kita cari pemain-pemain yang ada di luar negara tetapi ada kaitan darah daging dengan Malaysia walaupun bukan rakyat Malaysia," katanya.
Sebelum ini ada cadangan supaya barisan pemain skuad Harimau Malaysia dibarisi oleh pemain-pemainn import yang dinaturalisasikan supaya pasukan negara dapat diperkuatkan.
FAM sebelum ini dilaporkan bersikap terbuka mengenai cadangan penggunaan pemain naturalisasi demi meningkatkan prestasi skuad bola sepak kebangsaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk itu menyokong cadangan berkenaan namun perlu mengambil kira pandangan daripada kerana kerana ia melibatkan kewarganegaraan seseorang individu.
Cadangan itu timbul melalui kenyataan jurulatih bola sepak negara, Dollah Salleh yang memandang positif perkara itu selepas melihat prestasi memberangsangkan pasukan Pilihan Malaysia ketika menentang Liverpool FC 24 Julai lalu.
Pasukan Pilihan Malaysia di bawah kendalian Dollah turut dibarisi lima pemain import dan berjaya mengikat kelab gergasi England dengan keputusan seri 1-1.

