Hasrat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya Malaysia menjadi tuan rumah sukan Olimpik perlu dikaji secara mendalam.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, ia berikutan penganjuran temasya itu memerlukan komitmen kewangan yang tinggi.

Katanya, dari segi prosedurnya sebarang bidaan itu mesti datang daripada MOM dan akhirnya yang menanggung kosnya adalah kerajaan.

"Jadi kita kena buat satu kajian kewangan sebelum kita buat apa-apa keputusan. Malah saya cadangkan kita buat kajian untuk membuat bidaan bagi Sukan Asia dulu sebelum kita fikirkan mengenai Olimpik.

"Sebab Olimpik bukannya setakat RM20 juta, RM30 juta, tetapi berbilion-bilion. Tetapi pulangannya tak tentu lagi," katanya.

Kos dan persediaan

Jelas Khairy, ada tuan rumah yang mendapat pulangan baik tetapi ada tuan rumah seperti Olimpik 197‎6 Kanada terpaksa menanggung hutang.

"Bagi kita bukanlah soal kita tak mahu jadi tuan rumah dan tidak ada sesiapa yang tak mahu jadi tuan rumah bagi temasya Olimpik, tetapi soalnya adalah kos dan persediaan.

"Kalau ada peruntukkan itu, ‎kita mahu gunakan untuk jadi tuan rumah ataupun untuk program pembangunan sukan.

‎"Tetapi saya tak kata tidak, cuma kita kena kaji dengan lebih mendalam," jelas beliau.

Sebelum ini Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar mengulangi bahawa rantau Asia Tenggara boleh menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan kemungkinan sebagai tuan rumah bersama di bawah Agenda Olimpik 2020.

‎Katanya, hasrat itu boleh dipertimbangkan untuk penganjuran temasya Olimpik 2028 atau 2032 selepas sudah terlewat untuk bidaan Olimpik 2024.

"Malaysia dan Singapura mempunyai kemudahan menganjurkan temasya sukan yang besar, namun kekurangan menyediakan atlet bertaraf dunia dalam pelbagai cabang sukan," katanya.