Walaupun sudah bersedia, pelumba muda Jazeman Jaafar terpaksa terus bersabar sambil berharap untuk dapat memasuki saingan lebih tinggi kerana ketiadaan dana dan penaja.

Impian besar Jazeman ialah mewakili Malaysia dalam perlumbaan Formula 1 tetapi masalah utama pemuda itu ialah kewangan.

Realiti pahit dialami Jazeman itu diakui sendiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkata, anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu ada mengemukakan jangkaan perbelanjaan diperlukan.

Namun, kata Khairy ( gambar ) kos diperlukan Jazeman, 22, terlalu tinggi.

"Saya masih sedang fikirkan bagaimana kita dapat bantu Jazeman, sebab secara jujur kerajaan sendiri tidak mampu menanggung keseluruhan kos yang diperlukan beliau.

"Penaja utama Jazeman, Petronas sudah melabur begitu banyak dan mereka kini menghadapi kekangan disebabkan segi harga minyak dunia yang rendah," katanya di majlis perasmian NBL Asia Sdn Bhd di Cyberjaya hari ini.

Justeru, kata Khairy kerajaan sedang memiikirkan bagaimana sumbangan dapat diperoleh daripada kerajaan dan sebahagian lagi pembabitan sektor swasta.

Dulu banyak pelabur

Apa yang penting kata Khairy, beliau komited untuk membantu pelumba negara namun pelaburannya tinggi.

"Saya harap beliau dapat memberi setdikit masa untuk saya mencari jalan bagaimana kita dapat membantunya," kata Khairy.

Ahli Parlimen Rembau itu juga mengakui keadaan semasa ekonomi tidak memihak menyebabkan syarikat swasta perlu berhati-hati untuk membuat pelaburan besar.

Keadaan itu, katanya, tidak dilihat beberapa tahun lalu apabila pihak swasta banyak melabur dalam bidang sukan.

Khairy sebelum ini dilaporkan akan mencadangkan kepada kerajaan supaya membuat pelaburan terhadap Jazeman bagi membolehkan dia mewakili negara sebagai pemandu F1.

Jazeman kini berlumba dalam Siri Dunia Formula Renault 3.5 bagi pasukan Asia Racing Team.

Bakat Jazeman dicungkil melalui program pembangunan Petronas dan pernah meraih bergelar juara perlubaan Formula Renault 3.5 di Monaco, Mei lalu.