JDT harap tuah jika Pahang kalah
Harapan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melangkah ke takhta Liga Super nampaknya tipis berdasarkan jadual perlawanan berlangsung malam ini.
Walaupun bertemu pasukan tercorot liga, iaitu KL Sime Darby FC, sekiranya menang pun nasib JDT masih bergantung kepada keputusan perlawanan Pahang - ATM.
Pahang sebagai pendahulu liga dengan kutipan 36 mata pastinya mahu mengekalkan rekod cemerlang mereka.
Lebih-lebih lagi mereka berdepan dengan pasukan ATM yang dilihat tidak konsisten sepanjang musim ini.
Dengan kekurangan dua mata berbanding skuad Tok Gajah, JDT tidak sekadar perlukan kemenangan, malah mengharapkan nasib akan menyebelahi mereka.
Jika Pahang menang mengatasi ATM, JDT masih terpaksa berpuas hati di tangga kedua.
Selepas perlawanan malam ini, mereka masih berbaki lima perlawanan sebelum menamatkan musim ini.
Kesungguhan yang ditunjukkan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha membangunkan bola sepak Johor pastinya menjadi kayu ukur berdasarkan prestasi pasukan.
Sebagai pasukan yang banyak melakukan transformasi dan program pembangunan, Harimau Selatan dilihat melawan arus berbanding pasukan lain.
Justeru, mampukah JDT mengulangi sejarah tahun lalu sebagai juara Liga Super?
Pastinya bukan mudah, Pahang juga mahu mencipta sejarah baru selepas muncul juara pada edisi pertama Liga Super 2004.

