Bekas Naib Presiden Fifa Chung Mong-joon mendedahkan keinginan beliau untuk bertanding bagi merebut jawatan tertinggi oraganisasi induk bola sepak dunia itu.

Presiden terkini, Sepp Blatter ( gambar ) mengumumkan peletakan jawatannya selepas Fifa dilanda tuduhan rasuah dan beberapa pegawainya ditahan pihak berkuasa di Eropah.

Fifa akan mengadakan pemilihan baru pada Februari tahun depan namun di sebalik pengumuman pelatakan jawatan itu, Blatter tetap memberi isyarat seolah-olah akan bertanding sekali lagi.

Agensi berita Yonhap di Korea Selatan melaporkan, Chung bercadang untuk mengumumkan secara rasmi pencalonannya pada 17 Ogos ini di Paris, Perancis.

Kata Chung, beliau berharap dapat bertemu dengan Presiden Uefa Michel Platini ketika pengumuman itu nanti.

"Saya percaya Platini dan saya adalah antara calon yang dikenali," katanya.

Tujuh dari Eropah

Sebelum ini Platini - legenda bola sepak Perancis - juga menunjukkan minatnya untuk merebut jawatan Presiden Fifa.

Di sebalik harapan untuk menang, bekas Naib Presiden Fifa bagi tempoh 1994 hingga 20122 itu berkata, dia bakal berdepan cabaran besar juga untuk menang kerana sukar bagi seseorang tokohg dari Korea Selatan menjadi pemimpin tertinggi bola sepak.

FIFA mempunyai lapan presiden dalam sejarahnya  dengan tujuh dari Eropah.

Seorang lagi ialah tokoh dari Brazil, Joao Havelange, yang memegang jawatan itu untuk tempoh 1974 - 1998.

Ketika ditanya mengenai skandal rasuah melanda Fifa, Chung meletakkan kesalahan pada kedua-dua presiden sebelum ini.

"Fifa bertanggungjawab kepada masalah sendiri, tetapi pemimpin bola sepak Eropah juga perlu dipertanggungjawabkan. Sekiranya ada kepimpinan yang baik di Eropah, mereka akan membawa Fifa ke arah yang lebih baik," katanya.