Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers, mengakui berhutang dengan penyokong The Reds selepas pasukannya kalah 6-1 kepada Stoke City pada perlawanan akhir Liga Perdana Inggeris (EPL), musim lalu.

Pengakuaan itu dibuat Rodgers menjelang sepak mula musim baru EPL hari ini yang bakal menyaksikan Liverpool berdepan lawan sama di Stadium Britannia pada jam 11 malam esok.

"Kami pasti akan lebih baik berbanding ketika berada di Stoke pada musim lalu. Kami kekurangan banyak aspek ketika itu.

"Keputusan seperti itu tidak seharusnya berlaku. Kami berhutang kepada penyokong," kata Rodgers seperti dilaporkan Skysport.com .

Pengurus berusia 42 tahun itu menyifatkan pertemuan dengan Stoke bagi perlawanan terakhir itu sangat aneh.

"Kami semua tahu itu tidak dapat diterima tetapi kami terpaksa menerimanya.

"Bagi saya, jadual perlawanan kali ini sempurna untuk liga perdana. Saya gembira ia (lawan Stoke) berlaku," katanya.

Pertemuan dengan Stoke juga menjadi ujian pertama kepada pemain harapan Liverpool, Christian Benteke.

Rodgers meletakkan harapan besar agar Benteke dapat memberi impak maksimun.

"Benteke merupakan pemain yang sesuai dengan kami. Dia memiliki potensi besar dan boleh bermain dengan daya tahan tinggi serta pergerakannya amat tangkas," puji Rodgers.