Menteri minta 'tuan tanah' DBKL bedah siasat
Meskipun ramai yang teruja dengan penganjuran Grand Prix KL City di ibu negara yang berakhir semalam, terdapat juga warga kota yang merungut ekoran penutupan beberapa jalan utama.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengakui penutupan jalan mengakibatkan kesesakan luar biasa sehingga ada yang terperangkap berjam-jam dalam kereta.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak boleh dipertanggungjawabkan dalam isu tersebut kerana ia anjuran swasta.
"Ini adalah program yang dianjurkan syarikat swasta dan mendapat kerjasama dengan Dewan bandaraya Kuala lumpur (DBKL),” katanya ketika diminta mengulas berhubung kesesakan ekoran perlumbaan sulung acara itu.
Khairy berharap DBKL dapat menjalankan bedah siasat daripada aspek penganjuran bagi melicinkan acara itu pada masa akan datang.
"Saya minta DBKL dapat buat bedah siasat kerana tuan tanahnya adalah DBKL.
"Saya yakin DBKL akan melihat program seperti ini wajar diteruskan sama ada kelebihan yang mereka dapat dari segi pelancongan mengatasi segala masalah yang timbul dalam program tersebut," ujarnya.
Daripada Jumaat lepas sehingga semalam, beberapa jalan utama di sekitar bandar raya ditutup untuk acara yang julung-julung kali diadakan itu.
Acara tersebut juga menyaksikan perlumbaan kereta GT, Piala Lamborgini Super, Formula Master, Piala Porsche Carrera dan Piala Audi R8 LMS selain pertunjukan lima pasukan terbaik siri perlumbaan V8 Sipercars.
Acara itu melibatkan penutupan lima jalan utama di ibu kota bermula pukul 6 pagi hingga 6 petang.
Litar lumba sepanjang 3.2 kilometer itu bermula dari KLCC dan melibatkan Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan P Ramlee dan Jalan Perak.

