Berbaki empat perlawanan saja lagi sebelum juara sebenar Liga Super 2015 dinobatkan dan tirai pertandingan musim ini ditutup secara rasmi.
Berdasarkan kedudukan semasa, hanya dua pasukan teratas - Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang mempunyai peluang cerah mengungguli takhta selepas masing-masing mengumpul 40 dan 39 mata.
Perlawanan ke-19 malam ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan pasukan yang berpeluang sebagai juara - sama ada JDT kekal teratas, ataupun Pahang merampas.
Kalah mengejut 4-2 kepada kelab Singapura Lions XII pada aksi sebelum ini memberi pengajaran besar buat Pahang yang sebelum ini menjadi pendahulu liga.
Bakal ditentang pasukan Kelantan di Stadium Darul Makmur malam ini, skuad Tok Gajah berjanji memperbaiki benteng pertahanan mereka.
Jurulatih Zainal Abidin Hassan berkata, perlawanan malam ini cukup penting untuk meraih tiga mata penuh dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
"Kita telah kerugian mata di Singapura, jadi sangat penting untuk Pahang bangkit kembali. Saya membuat beberapa perubahan khsusnya untuk barisan pertahanan yang dilihat lemah sebelum ini," kata Zainal kepada Malaysiakini hari ini.
Penting tiga mata
Berkedudukan di tempat kedua selepas JDT, Zainal berkata, beliau mahu memastikan barisan pemainnya menjalankan tugas dengan baik walaupun mungkin gagal merangkul gelaran juara.
"Kita lihat pasukan Kelantan sekarang mempunyai peningkatan. Penting untuk kita berwaspada dan jalankan tanggungjawab yang diberi.
"Saya harap pemain kita sentiasa fokus kerana yang penting adalah berjaya mengutip tiga mata penuh," katanya.
Ditanya nasib Pahang juga bergantung kepada keputusan JDT bertemu Lions XII, Zainal berkata, biarlah takdir yang menentukan.
"Tetapi kita sudah menunjukkan peningkatan pada musim ini. Kita usahakan yang terbaik dan serah kepada takdir," katanya.
Sementara itu, JDT yang bakal melayan kehadiran Lions XII di Stadium Larkin malam ini pastinya dicabar hebat.
Jika anak buah Mario Gomez mengulangi kesilapan Pahang, kedudukan mereka bakal tergugat sementara perlawanan seterusnya berbaki tiga perlawanan sahaja untuk memastikan nasib mereka.
