Liga Super: Impian minimum Penyu tempat ketiga
Pasukan Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Super musim ini.
Penolong ketua jurulatihnya Ahmad Yusof berharap pasukan itu dapat mengekalkan aksi konsisten bagi terus memburu kemenangan dalam aksi yang berbaki tiga perlawanan.
Katanya meskipun berjaya mencatat enam kemenangan berturut-turut namun skuad Penyu tetap diingatkan agar tidak leka dengan kemenangan yang diperolehi sebelum ini.
"Fokus kita sekarang ini untuk terus memburu kemenangan bagi mendapatkan kedudukan yang terbaik seterusnya merapatkan jurang mata dengan pasukan di atas.
"Saya harap kemenangan demi kemenangan yang dilakar sebelum ini menjadi dorongan dan penyuntik semangat kepada para pemain, namun mereka juga diingatkan agar tidak leka dan terlalu selesa dengan kemenangan itu," katanya kepada pemberita di Kuala Nerus, Terengganu.
Pada aksi menentang Perak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi tuan rumah menerima tentangan sengit daripada pasukan pelawat sebelum menang 2-1.
Dua gol Skuad Penyu dijaringkan oleh pemain tengah Ismail Faruqi Ashari pada minit ke-21 dan penyerang import dari Kanada Issey Nakajima-Farran, selang empat minit kemudian sebelum Perak bangkit merapatkan defisit jaringan menerusi sentuhan penyudah Bobby Gonzales pada minit ke-36.
Terengganu kini menghuni tangga keempat liga dengan mengumpul 32 mata daripada 19 perlawanan.
- Bernama

