Pemain sayap Bayern Munich, Arjen Robben berharap Kevin de Bruyne menolak untuk berpindah ke Manchester City dan bertahan bersama Wolfsburg.

Menurut Robben, keputusan de Bruyne untuk bertahan bersama kelabnya sekarang sangat membantu Bundesliga terus kompetitif.

Pemain kebangsaan Belgium itu dikhabarkan menjadi sasaran utama City pada musim perpindahan ini.

Malah kelab kendalian Manuel Pellegrini itu sudah membuat tawaran £45 juta (RM282 juta) untuk mendapatkan bekas pemain Chelsea itu akhir minggu lalu.

Selain City, tiga kelab gergasi Eropah - Real Madrid, Barcelona dan Bayern Munich - juga memburu pemain berusia 24 tahun itu.

Pelik lihat EPL

Bagaimanapun, Pengurus Wolfsburg Dieter Hecking, dilihat berkeyakinan bahawa de Bruyne tidak akan berpindah.

"Saya berharap pemain-pemain yang hebat dari kelab lain akan bertahan di Bundesliga," kata Robben seperti dilaporkan Goal.com.

"Kita mungkin fikir Mats Hummels boleh dipindahkan, Ilkay Gundogan mungkin berpindah dan Marco Reus meninggalkan Borussia Dortmund. De Bruyne juga dilaporkan bakal tinggalkan Wolfsburg. Itu tidak jadi masalah.

"Tetapi saya seboleh mungkin mahu mereka bertahan dan ingin menjadikan persaingan Bundesliga lebih menarik.

"Sejak berada di Bayern, saya melalui persaingan Bundesliga. Bola sepak merupakan kehidupan di sini dan saya tidak mahu perkara itu berkurangan," katanya.

Sementara itu, Robben turut mengulas mengenai kekuatan kewangan kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas pemain Chelsea dan Real Madrid itu mengakui hairan melihat kuasa beli kelab di EPL.

"Wang yang tersedia untuk berbelanja bagi kelab EPL sangat luar biasa. Mereka mahu beli siapa saja yang boleh," kata Robben.