'Banyak sedikit tak mustahak, yang penting menang'
Bagi pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) 'formula' mereka ketika ini sangat mudah - teruskan kemenangan dan jangan pedulikan berapa jumlah gol dapat dijaringkan setiap perlawanan.
Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez ( gambar ) berkata dia tidak mengambil kira berapa banyak pemainnya mampu membolosi gawang lawan, dan enggan menetapkan gol itu mesti dijaringkan pada separuh masa pertama atau kedua.
"Saya gembira dapat membawa pasukan mendahului liga dan lebih gembira lagi apabila dapat menewaskan Lions XII yang merupakan antara pasukan yang sukar ditumpaskan," katanya seperti dilaporkan Facebook JOHOR Southern Tigers.
Pada perlawanan Rabu lalu, JDT berjaya menumpaskan kelab dari Singapura Lions XII dengan jaringan tipis 1-0 untuk kekal berapa di takhta liga.
Kemenangan itu memperlihatkan penyandang juara Liga Super musim lalu itu lebih gah berbanding pesaing terdekat mereka, Pahang.
Skuad Tok Gajah sebelum ini tumpas dengan jaringan 4-2 kepada Lions XII sekali gus menurunkan mereka sebagai pendahulu liga sebelum ini.
Pada aksi ke-20 bakal berlangsung esok, JDT akan menjadi tetamu pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad XI, Kota Bharu, manakala Pahang akan bertandang ke Stadium Ipoh bagi menentang Perak.
Pada perlawanan ke-19 lalu, anak buah Zainal Abidin Hassan berjaya menewaskan skuad The Red Warriors dengan jaringan besar 5-3.

