Sama-sama berjersi merah, kalau mahu, penyokong The Red Warriors (TRW) boleh saja meminjam slogan megah Liverpool dengan berkata: " This is Kota Bharu" selepas mereka berjaya memaksa pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) tersungkur 1-4 di Stadium  Stadium Sultan Muhammad IV pada malam ini.

JDT bukan sembarang pasukan. Sebelum wisel penamat ditiup pengadil menjelang tengah malam tadi, JDT adalah pendahulu Liga Super meski pun hanya berbeza satu mata dengan pencabar terdekat, Pahang.

Kelantan pula berada di tangga kesembilan daripada 12 pasukan keseluruhan.

Maka tidak hairanlah apabila ada penyokong TRW berkata "rasa seperti sudah jadi juara Liga Super" untuk meraikan kemenangan bermakna tadi walaupun ia tidak mengubah kedudukan pasukan itu pun.

Di Stadium Perak di Ipoh pula Pahang kurang menyerlah apabila sekadar seri 1-1 dengan Perak, namun ia cukup memberi kelebihan untuk anak buat Zainal Abidin Hassan kembali ke tempat pertama liga.

Kini JDT kembali di tangga kedua dengan berkongsi 43 mata dengan Pahang. Cuma skuad Tok Gajah mempunyai kelebihan jaringan gol berbanding JDT.

Persaingan kedua-dua pasukan itu semakin sengit untuk merebut gelaran juara dengan dua baki perlawanan.

JDT bakal bertemu Perak selepas ini sebelum mengakhiri cabaran liga dengan berdepan KL Felda United. Pahang pula dicabar KL Felda United lebih awal sebelum menutup tirai aksi bertemu pasukan Terengganu.

Selepas menang tipis 1-0 ke atas Lions XII Rabu lalu, Ketua Jurulatih JDT Mario Gomez menyifatkan pasukannya tidak memerlukan jaringan besar sebaliknya hanya mahukan kemenangan.

Ketika itu Pahang menang dengan jaringan 5-3 menumpaskan Kelantan di Stadium Darul Makmur.

Kekalahan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV pastinya diluar jangkaan dengan prestasi semasa mereka berbanding TRW.

Anak buah Zahasmi Ismail tampil garang melalui gol seawal minit ketiga melalui penyerang import Gilmar Filho disusuli jaringan penalti disempurnakan kapten TRW, Mohd Badri Radzi pada minit ke-13.

Separuh masa kedua menyaksikan JDT cuba bangkit melalui gol yang dijaringkan Mahali Jasuli.

Bagaimanapun, TRW menafikan hasrat JDT apabila terus mendahului dengan dua gol jaringan Norfarhan Mohamad (51') dan Gilmar (83').

Facebook Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan dalam satu tulisan menyifatkan kemenangan itu‎ seolah-olah mengulangi zaman kegemilang mereka sebelum ini walaupun di tangga kesembilan liga.