"Penalti yang diberikan pada malam ini dilihat amat berat sebelah, tetapi siapalah kita untuk mempertikaikan keputusan tersebut," komen Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas kekalahan JDT kepada Kelantan, malam tadi.

Melalui kenyataan disiarkan Facebook Johor Southern Tigers selepas selesai perlawanan tersebut, beliau berkata, keputusan di atas padang tidak boleh diubah dan terpulang kepada JDT untuk memberikan yang terbaik dalam baki dua perlawanan akan datang.

"Kita akan sentiasa bergelut dengan sistem dan kakitangan yang akan sentiasa menurut arahan pihak atasan.

Tetap tahniah

"Kita mesti meneruskan perjuangan, dan Insya-Allah, kita akan bertahan," kata beliau yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ).

Beliau turut menyeru penyokong skuad Harimau Selatan teguh di belakang pasukan kesayangan mereka.

"JDT nampaknya tidak bernasib baik pada malam ini. Diharapkan pasukan kita dapat meningkatkan prestasi dalam baki perlawanan.

"Tahniah kepada Kelantan atas kemenangan pada malam ini. Tahniah juga atas persembahan bola sepak yang amat baik sekali," kata TMJ.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV itu, The Red Warriors mengatasi JDT 4-1 termasuk melalui gol hasil sepakan penalti ekoran kekasaran pemain JDT, Marcos Antonio terhadap Gilmar.

Penati yang diberikan pengadil itu membolehkan TRW mendahului JDT 2-0.

Kekalahan 1-4 itu sekali gus memberi peluang kepada pasukan Pahang kembali ke takhta Liga super dengan kelebihan jumlah gol berbanding JDT walauun berkongsi pungutan mata.