Badminton: Bagai menanti hujan dari mendung awan
Isunya bukanlah Datuk Lee Chong Wei saja yang kempunan - setakat ini - tetapi kita rakyat Malaysia seluruhnya perlu berputih mata untuk kali entah ke berapa.
Chong Wei gagal lagi merangkul kejuaraan dunia.
Hingga kini realitinya adalah begini: Malaysia masih ketiadaan pemain lain yang lebih muda dan berdaya saing, sebaliknya terpaksa hanya berharap kepada kudrat Chong Wei untuk menjulang status sebagai juara Kejohanan Badminton Dunia.
Tanpa Lin Dan yang seakan 'badi' untuk Chong Wei, nama Malaysia gagal lagi dinobatkan sebagai juara apabila Chen Long mengungguli gelanggang di Jakarta petang tadi.
Dengan mata 21-14 dan 21-17 Chen Long membuktikan dia mempunyai pakej lengkap sebagai seorang jaguh badminton dunia sekali gus mengecewakan satu-satunya harapan terbaik Malaysia untuk sukan badminton ketika ini, Chong Wei.
Menghantar bulu tangkis ke serata gelanggang, pertahanan konsisten dan gerakan pantas pemain berusia 26 tahun itu ternyata sukar diatasi Chong Wei yang dilihat lebih banyak bertahan sepanjang perlawanan.
Dengan kudrat usia 33 tahun, menyandarkan Chong Wei kepada pengalaman semata-mata adalah bagaikan mengharap hujan pasti turun hanya kerana melihat awan mendung di langit.
Sekarang apa, BAM
Rekod perlawanan memang memihak kepada Chong Wei. Daripada 21 pertemuan, 12 dimenangi Chen Long.
Chong Wei turut tewas kepada Chen Long pada perlawanan akhir Terbuka Taiwan, bulan lalu.
Rentak permainan Chong Wei agak perlahan berbanding ketika dia menghadapi - dan menang- Jan O Jorgensen dari Denmark, semalam.
Cuba bangkit pada set kedua bagaimanapun usaha Chong Wei terus disekat Chen Long melalui permainan agresifnya.
Chong Wei gagal lagi merangkul kejuaraan dunia. Terserah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sama ada mahu terus berharap kepada Chong Wei menggalas cabaran negara atau mencari bakat baru.
Jika jawapannya adalah mencari atlet baru, ombakan perlu dibuat, sama ada program pembangunan sukan, atau orang yang ada di BAM itu.
Selepas ini entah siapa pula diharap menggalas nama negara. entah ada entah tidak.

