EPL: Bournemouth pertikai gol tunggal The Reds
Kalah kepada Livepool 1-0 awal pagi tadi, Pengurus Bournemouth Eddie Howe tidak berdiam diri apabila menyifatkan jaringan tersebut sepatutnya dibatalkan kerana pemain dalam dalam situasi ofsaid.
Mengikut peraturan baru Liga Perdana Inggeris (EPL), kata Howe, kedudukan penyerang The Reds, Philippe Coutinho perlu diambil kira kerana "mengganggu" permainan walaupun dia tidak menyentuh bola tersebut.
Howe dilaporkan akan menuntut penjelasan daripada persatuan pengadil berhubung satu-satunya gol yang memberi kemenangan kepada Liverpool di Anfield itu.
Pada perlawanan kedua kelab tersebut, Christian Benteke menjaringkan gol tungal - sekali gus gol pertama peribadinya - sejak berpindah dari Aston Villa ke kelab kendalian Brendan Rodgers itu.
Gol tersebut dibenarkan pengadil perlawanan Craig Pawson dan pembantunya Harry Lennard.
Howe berkata, beliau akan mendapatkan pencerahan daripada pegawai profesional perlawanan mengenai kedudukan yang dianggap sebagai "kawasan kelabu" itu.
Belum tonton lagi
"Jika mengikut peraturan baru EPL, gol itu jelas ofsaid.
"Kami mendapat penjelasan pengadil mengenai peraturan baru dalam EPL sebelum musim bermula, tetapi hari ini saya terkejut apabila jaringan itu disahkan.
"Penjaga gol kami jelas terkesan dengan gangguan pemain Liverpool. Jika itu tidak ofsaid, ini adalah satu contoh jelas. Saya tidak fikir ia sesuatu yang sukar untuk difahami," kata Howe.
Sementara itu, Rodgers mengambil sikap "lepas tangan" dan enggan mengulas lanjut mengenai jaringan kontroversi itu.
Sebaliknya, beliau hanya menjelaskan belum menonton tayangan semula aksi tersebut.
Berdasarkan peratusan baru EPL musim ini, sesorang yang berada dalam posisi ofsaid tidak boleh melakukan gerakan aktif walaupun tidak menyentuh bola.
Dalam situasi gol Liverpool ke atas Bournemouth, Benteke tidak berada pada posisi salah tetapi kedudukan dan gerakan Coutinho boleh menjadi pertikaian.

