Barca tempang sebelum La Liga bermula
Pada aksi akhir Piala Copa del Rey Mei lalu, Lionel Messi beraksi pada tahap luar biasa dengan larian pantas di bahagian kanan padang serta memperdayakan empat pemain Athletic Bilbao sekali gus menjaringkan gol pertama Barcelona.
Namun keajaiban tidak selalu wujud.
Pada perlawanan akhir Piala Super Copa Sepanyol awal pagi tadi, kelibat penyerang kebangsaan Argentina itu gagal menyelamatkan pasukannya.
Selepas tewas 4-0 pada perlawanan akhir pertama Sabtu lalu, anak buah Luis Enrique gagal menghukum kunjungan lawan ke Camp Nou apabila sekadar seri 1-1.
Secara keseluruhan, Bilbao mengatasi Barcelona dengan agregat 5-1 sekali gus menggagalkan pencapaian terbaik enam trofi kelab itu ketika ia di bawah kendalian Pep Guardiola, pada musim 2009.
Malang bertimpa-timpa
Tanpa kehadiran Neymar dan Gerard Pique pula dikenakan kad merah, bala seolah-olah jatuh bertimpa-timpa ke atas Barcelona.
Secara psikologinya, Barcelona mempunyai banyak peluang untuk mencipta jaringan namun nasib tidak menyebelahi mereka.
Sementara itu Enrique menyifatkan Bilbao layak bergelar juara selepas kad merah yang diterima Pique mengubah rentak permainan.
Memiliki Messi di atas padang, kekurangan seorang pemain tetap menjejaskan Barcelona dan Bilbao menyamakan jaringan pada minit ke-74.
Enrique mendakwa, ketiadaan empat pemain iaitu Neymar, Jodi Alba, Adriano dan Douglas dos Santos - yang mengalami kecederaan - memberi tekanan tambahan kepada Barcelona.
Selepas gagal menandingi Guardiola, Enrique kini perlu menekan butang kecemasan apabila pasukannya dibolosi sembilan gol dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Jurulatih berusia 45 tahun itu perlu kembali bekerja keras untuk menghadapi aksi seterusnya bagi musim baru La Liga.

