Liga Super: Pahang idam yang paling manis
Tinggal dua perlawanan sebelum Liga Super melabuhkan tirainya musim ini, Zainal Abidin Hassan hanya ada satu nasihat untuk pemainnya - lupakan segala pahit manis demi mengejar kejayaan paling manis.
Dihubungi Malaysiakini, jurulatih Pahang itu berkata, beliau mahu semua pemain memberi tumpuan penuh untuk merangkul kejuaraan liga.
"Kita perlu lupakan pahit dan manis dilalui sepanjang musim ini dan tumpukan sepenuhnya untuk yang paling manis sebagai penutup musim ini.
Pahang kini berkongsi mata dengan JDT apabila kedua-dua pasukan mengumpul 43 mata daripada 20 perlawanan.
Uniknya, Pahang dan JDT juga mencatat persamaan pada bilangan menang, kalah dah seri.
Faktor yang membezakan kedua-dua pasukan itu setakat ini ialah jumlah jaringan dan gol bolos.
Ia membolehkan Pahang berada di kedudukan teratas dan JDT di tempat kedua.
Menanti Felda United
Pahang lebih beruntung kerana memiliki kelebihan sembilan gol di depan JDT.
Selangor pula berada di tempat ketiga dengan 33 mata.
Zainal Abidin berkata dua perlawanan terakhir nanti cukup penting.
"Saya mengharapkan mereka dapat memberikan segala-galanya dengan mempamerkan aksi terbaik," kata Zainal.
Pahang akan menanti kunjungan KL Felda United ke Stadium Darul Makmur malam esok sebelum berangkat ke Kuala Terengganu untuk menamatkan saingan musim ini.
Zainal mengakui tekanan sedang dirasai oleh skuadnya.
"Untuk dua perlawanan ini apa yang paling saya risaukan adalah kecederaan dan juga penggantungan pemain.
"Apa pun yang lebih penting saya mahu setiap pemain fokus dengan tanggungjawab masing-masing sehingga mengecapi kejuaraan," katanya.
Pada dua perlawanan sebelum ini Pahang menunjukkan aksi tidak konsisten apabila garang membelasah Kelantan 5-3 tetapi cuma seri 1-1 ketika bertemu Perak.
Ditanya sebarang perbuahan mungkin dilakukan, Zainal berkata, Pahang akan tampil dengan beberapa perubahan khususnya daripada aspek taktikal.

