Perkembangan di Stamford Bridge semakin menarik perhatian menjelang berakhirnya tempoh perpindahan pemain di Eropah.

Semalam The Blues berjaya menyebabkan kelab 'Syaitan Merah' menjadi merah padam apabila menyambar pemain depan Barcelona, Pedro, tanpa disedari pengurusan Old Trafford.

Hari ini media melaporkan kelab milik bilionair Russian, Roman Abramovich - bersama pengurus kepercayaannya, Jose Mourinho - sedang mengintai pemain tengah Juventus, Paul Pogba.

Daily Expres s melaporkan, Mourinho dan Abramovich menumpukan perhatian kepada Pogba selepas mengikat Pedro.

Nama pemain antarabangsa Perancis itu 'dilupakan' seketika oleh kelab utama di Eropah.

Namun Pogba, 22, yang mahir bermain sebagai penyerang dan pertahanan dijangka mencuri tumpuan ramai semula selepas ini apabila dikhabarkan The Blues bercadang mengikatnya bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Satu lagi nama yang disebut-sebut dikaitkan dengan Chelsea ialah pemain kebangsaan England dan Everton, John Stone, 21.

Menurut Daily Star Pogba dan Stone adalah gabungan pemain yang cuba dipancing ke Stamford Bridge dalam pakej peruntukan £100 juta (RM654.9 juta).

Media melaporkan, Stone sendiri kelihatan berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemain kelab juara EPL itu.