Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TMJ ajak pengkritik JDT makan nasi campur
Diterbitkan:  Aug 21, 2015 1:35 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Tengku Mahkota Johor "mempelawa" penyokong pasukan bola sepak yang tidak senang kepada JDT supaya datang ke rumah beliau untuk "makan nasi campur bersama-sama".

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata melalui majlis itu peminat pasukan bola sepak negeri lain boleh meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing kepada beliau.

Kata Tunku Ismail, pertemuan itu juga membolehkan mereka berkongsi pendapat untuk memajukan sukan bola sepak tempatan.

TEMURAMAH BERSAMA DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR BERKENAAN ISU KEKECOHAN DI STADIUM TAN SRI DATO HAJI HASSAN YUNOSWartawan :...

Posted by JOHOR Southern Tigers on Thursday, August 20, 2015

"Asyik nak bersuara di dalam media sosial sahaja tak guna, sampai kiamat pun tak habis. Berdepan lebih berkesan dan menarik," katanya.

JDT adalah antara pasukan paling digemari ramai dalam persaingan Liga Super dan disebut-sebut bakal muncul juara selepas perlawanan terakhir musim ini dilangsungkan esok.

Namun pada masa sama ada juga peminat menganggap JDT sebagai "musuh" sehingga hampir setiap perlawanan membabitkan pasukan pasukan itu akan ada insiden tidak diingini berlaku.

Kelmarin perlawanan membabitkan JDT - Perak juga mencetuskan ketegangan apabila sesetengah pihak merusuh di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Kempen bunuh bola sepak

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan menyifatkan kejadian itu tidak membabitkan penyokong tegar JDT.

Menurut beliau, JDT adalah antara pasukan mempunyai penyokong berdisiplin dan tidak mungkin terlibat dengan insiden sedemikian.

Pada malam sama, seorang penyokong Perak juga cedera apabila terkena besi seberat 2kilogram yang dibaling dari luar bas di lebuh raya dekat Machap, Johor.

Mengulas kekecohan itu Tunku Ismail berkata, ada beberapa penyokong bola sepak mencadangkan JDT ditolak mata sebagai hukuman.

Secara berkias, Tunku Ismail berkata, sejak mulakan kempen 'membunuh sukan bola sepak tanah air' beliau pernah memberi cadangan kepada FAM supaya bertindak sewajarnya demi memuaskan hati pihak berkenaan.

Untuk maklumat semua pihak, kata Tunku Ismail, kekecohan juga berlaku di Perak, Terengganu dan negeri lain namun FAM tidak menolak mata pasukan terbabit.

Lebih dua mata

"Tetapi, jika FAM nak menolak mata Johor kerana itu yang penyokong di negeri lain inginkan, silakan," katanya.

Menjelaskan maksud kenyataan itu, Tunku Ismail berkata, jika kekecohan berlaku di negeri lain ia tidak diperbesar-besarkan.

"Oleh kerana ia terjadi kepada pasukan Johor, satu Malaysia gempa bumi.

"Jadi nasihat saya kepada FAM, dengarlah suara-suara penyokong yang bersama-sama FAM ingin memajukan bola sepak tanah air. Saya dan penyokong Johor hanyalah pembunuh bola sepak dan tidak setaraf dengan penyokong-penyokong bola sepak sesetengah negeri yang telah berjaya memajukan bola sepak," katanya.

Dalam perlawanan pada Rabu lalu, JDT membuat kebangkitan semula mengalahkan Perak 4-1 walaupun sebelumnya terkulai di tangan Kelantan 1 - 4 sebelumnya.

Pada masa sama pencabar terdekat JDT, Pahang, sekadar seri 2 - 2 dengan KL Felda United.

Keadaan itu membolehkan JDT bertakhta di puncak liga dengan kelebihan dua mata.

Juara sebenar akan ditentukan dalam perlawanan terakhir malam esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS